Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
20) MENINGKATKAN INTEGRITI KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi meningkatkan tahap integriti di kalangan kakitangannya?
Kerajaan Negeri menyedari bahawa tahap integriti yang tinggi perlu ada pada semua penjawat awam. Justeru itu, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Latihan Selangor sebagai pusat sehenti yang memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan program yang relevan dalam aspek penyuburan nilainilai murni dan integriti perkhidmatan awam. Pusat Latihan Selangor ini merangkumi dua (2) institusi utama iaitu Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri
Selangor (ILPBT) dan Pusat Latihan Penguat kuasa Selangor
(PULAPES).Pelbagai kursus, bengkel dan seminar dianjurkan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia dan sebagainya.
Antara langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah:
- Mengadakan Bengkel Pelan Tindakan dan Pencegahan Rasuah Negeri Selangor bagi merencanakan pelan yang komprehensif serta bersepadu berlandaskan norma kerja pentadbiran Kerajaan Negeri. Pelan ini disediakan sebagai langkah pencegahan dengan mengenal pasti ruang dan peluang berlakunya gejala rasuah di Jabatan / Agensi masing-masing. Secara tidak langsung, pihak pengurusan di Jabatan / Agensi berupaya mengambil langkah yang proaktif dan signifikan untuk menambah baik sistem dan prosedur sedia ada. ;
- Mengadakan pengurusan integriti di kalangan pegawai dan kakitangan di Jabatan / Agensi melibatkan program / aktiviti seperti penerangan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, penubuhan Jawatankuasa
Keutuhan Pengurusan (JKP) dan simulasi anti-rasuah; iii) Mewajibkan Modul Pencegahan Rasuah kepada Penguat kuasa yang baru dilantik dan masih dalam proses pengesahan dalam perkhidmatan;
- Melaksanakan program / aktiviti bersepadu iaitu Program Operasi dan Pemeriksaan Bersama Badan Pencegah Rasuah Negeri Selangor (BPR) terutamanya melibatkan kes-kes kecurian pasir dan penguatkuasaan; dan
- Meningkatkan tahap kesedaran di kalangan pegawai berhubung nilai-nilai pematuhan integriti seperti membekalkan Buku Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Buku Poket semasa menjalankan tugas.
Sebagai langkah tambahan, mulai tahun 2008, kerajaan telah memperkenal dan melaksanakan program Pembangunan Modal Insan (SPIES) kepada semua kakitangan awam yang bertujuan memupuk sifat akauntabiliti, bertanggungjawab, amanah dan berintegriti serta menanam semua nilai-nilai murni kearah menjadi seorang penjawat awam yang beretika, efisien dan efektif.
-
Apakah tindakan yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri jika terdapat kebocoran maklumat Kerajaan Negeri yang dilakukan oleh kakitangannya?
Tindakan yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan Negeri selangor jika terdapat kebocoran maklumat kerajaan yang dilakukan oleh penjawat awam adalah :-
- i) Berdasarkan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dimana Seseorang pegawai boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada tujuh (7) tahun atau denda tidak melebihi daripada RM10,000.00 atau penjara dan denda itu kedua-duanya di bawah akta ini sekiranya dibuktikan melakukan kesalahan-kesalahan berikut:
- menyampaikan secara langsung atau tidak langsung sesuatu maklumat atau benda tersebut kepada sesuatu negeri asing yang lain daripada negeri asing yang kepadanya ia diberikan kuasa dengan sempurna bagi menyampaikannya atau kepada seseorang lain yang lain daripada orang yang kepadanya ia adalah berkewajipan bagi menyampaikannya; atau
- menggunakan sesuatu maklumat atau benda seperti tersebut di atas untuk faedah sesuatu negeri asing yang lain daripada negeri yang asing yang faedahnya diberikan kuasa dengan sempurna bagi menggunakannya atau dengan apa-apa cara lain yang mudarat kepada keselamatan atau kepentingan Malaysia; atau
- menyimpan dalam bilik atau kawalannya mana-mana benda seperti tersebut di atas manakala ia tidak berhak menyimpannya atau manakala berlawanan dengan kewajipan bagi menyimpannya, atau tidak mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang sah berkenaan dengan pemulangan atau pelupusan benda itu; atau
- tidak menjaga dengan cara yang berpatutan, atau tingkah laku sehingga membahayakan keselamatan atau rahsia, sesuatu maklumat, atau benda seperti tersebut di atas.
- ii) Selain itu, sekiranya mana-mana pegawai didapati dan dibuktikan bersalah, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4(2)(f), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 yang menjelaskan bahawa:
“Seseorang pegawai tidak boleh tidak jujur atau tidak amanah.” Tindakan yang boleh diambil adalah samada buang kerja, turun pangkat, turun gaji atau tahan kenaikan gaji.
-
Bagaimanakah penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri?
Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memantapkan nilai-nilai murni dan menyuburkan integriti penjawat awam dari semasa ke semasa.
SPRM Negeri Selangor telah mengadakan pelbagai program / bengkel / seminar dengan kerjasama Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sepanjang tahun 2008 lalu. Antara medium kerjasama yang wujud antara kedua-dua belah pihak adalah:
- Ahli Tetap Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan Negeri Selangor (JKPNS) dan Jawatankuasa Kerja Kepada Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan NegeriSelangor (JKKJKPNS);
- Penganjuran Bengkel Pelan Tindakan dan Pencegahan Rasuah NegeriSelangor Tahun 2008;
- Taklimat Menerangkan Penubuhan SPRM kepada Ketua-Ketua Jabatan /Agensi;
- Penglibatan dalam slot pameran di pelbagai lokasi; dan
- Ceramah atau taklimat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor turut bekerjasama dengan SPRM sekiranya terdapat tuduhan rasuah melibatkan penjawat awam selaras dengan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1997 iaitu ‘Garis Panduan Mengenai Cara Menguruskan Kes-kes Tatatertib Yang Dirujuk oleh Badan Pencegah Rasuah’. Garis panduan ini menetapkan Ketua Jabatan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- i) mengenal pasti isu-isu dan mendapatkan bukti-bukti berkaitan; ii) menghubungi pegawai-pegawai SPRM yang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang sesuatu perkara jika timbul keraguan atau ingin mendapatkan bukti-bukti tertentu;
- menjalankan siasatan lanjut secara pentadbiran bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kesalahan yang dilaporkan;
- mengemukakan kes yang dilaporkan itu berserta dengan ulasan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh laporan tersebut diterima; dan
- mengemukakan keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib kepada SPRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).