Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

55) Menghapuskan Fahaman Perkauman Di Kalangan Rakyat Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiaitf yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri terutamanya untuk golongan anak muda bagi menghapuskan fahaman perkauman di kalangan rakyat Selangor?

    Perpaduan adalah matlamat utama rakyat Malaysia. Penduduk negeri Selangor adalah bersifat pluralistik iaitu terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan adat resam. Kepelbagaian ini merupakan keunikan yang menjadi aset kekuatan yang dibudayakan ke arah pemupukan semangat perpaduan yang kita miliki hari ini.

    Ketika ini terdapat usaha-usaha secara pro aktif yang dimainkan oleh pihak kerajaan menerusi Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional. Sebagai agensi peneraju perpaduan, pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sentiasa berusaha dengan gigih dalam memastikan perpaduan terus terpelihara melalui aktviti-aktiviti penyatupaduan bermula diperingkat akar umbi. Penekanan konsep penerimaan dan tolak ansur diterapkan dalam semua lapisan masyarakat untuk mengukuhkan hubungan dikalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan adat resam.

    Rukun Tetangga (RT) adalah jawatankuasa sukarela di peringkat akar umbi dan kawasan kejiranan yang melaksanakan aktiviti-aktiviti pemupukan perpaduan dan pengurusan penyelesaian masalah untuk mencapai kesejahteraan sosial dalam sesebuah komuniti. Sehingga Disember 2019 di Selangor ada sebanyak 1075 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan sebanyak 5758 aktiviti telah dilaksanakan di peringkat akar umbi yang meliputi 10 bidang utama iaitu sukan, rekreasi, sosial, kebajikan, kebudayaan, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, ekonomi dan bidang agama. Penglibatan masyarakat dalam program anjuran Rukun Tetangga ini adalah melibatkan penyertaan setiap lapisan masyarakat iaitu jiran muda, jiran wanita, jiran usia emas dan tunas jiran. Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga memainkan peranan serius dalam memastikan penglibatan segenap pemastautin dalam sempadan KRT dilibatkan dalam setiap aktiviti serta penekanan penyertaan perlu melibatkan pelbagai kaum. Penglibatan pelbagai kaum secara tidak langsung akan berlaku interaksi sosial serta proses mengenal antara satu sama lain secara lebih mendalam lagi.

    Selain itu juga, pihak Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi telah menubuhkan Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah rendah dan menengah, manakala Sekretariat Rukun Negara (SRN) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

    Antara objektif penubuhan Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara adalah seperti berikut:

    1. Menyemai dan mempertingkatkan lagi semangat perpaduan di kalangan pelajar berasaskan sikap saling percaya-mempercayai, hormat-menghormati, toleransi dan kerjasama antara kaum.
    2. Mempertingkatkan kefahaman dan menghormati budaya, adat resam dan pantang larang kaum-kaum di Malaysia.

     

    Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara yang diwujudkan akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara di kalangan pelajar. Selain daripada matlamat untuk memperkenal dan menyedarkan pelajar tentang kepentingan Rukun Negara, kelab ini juga akan dijadikan sebagai salah satu strategi utama ke arah pengukuhan semangat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan pelajar pelbagai kaum.

    Bilangan Kelab Rukun Negara (KRN) Negeri Selangor sebanyak 483 di Sekolah Rendah, 273 di Sekolah Menengah, manakala 28 Sekretariat Rukun Negara yang telah ditubuhkan di IPTA dan IPTS di Negeri Selangor.

    Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional juga telah merangka dan menyusun satu Modul Silang Budaya untuk pelajar Sekolah Rendah atau Menengah. Modul ini merangkumi pelbagai pendekatan dalam aktiviti silang budaya yang dapat dijalankan melalui konsep santai dan menggunakan formula 3B iaitu bermain, berkongsi dan bertoleransi. Melalui pendekatan konsep 3B ini, aktiviti dijalankan dalam suasana menyeronokkan dan santai, di mana pelajar berkongsi mengenai pengalaman diri dan nilai diri. Justeru pelajar dapat mengenal dan menerima perbezaan budaya, menghormati perbezaan dan tidak menyentuh sensitiviti pihak lain.

    Pendidikan elemen budaya, adat resam, kenegaraan, moral dan sivik yang terkandung dalam modul silang budaya ini bukan sahaja penting kepada pelajar sekolah dan mahasiswa melalui Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara, malah keutamaan juga perlu diberikan kepada seluruh warganegara ini khususnya dari kalangan pihak swasta, korporat, pertubuhan sukarela dan badan-badan bukan kerajaan. Usaha pendidikan perpaduan ini perlu disebarluaskan bagi memastikan rakyat negara ini dari peringkat usia muda lagi sudah mula menghayati nilai-nilai murni antara kaum dan seterusnya menjadi amalan ketika dewasa.

    Menerusi modul silang budaya ini usaha Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berlandaskan Perlembagaan dan Rukun Negara akan lebih terancang dan sistematik. Ini secara langsung dan tidak langsung, meningkatkan kefahaman dan pengetahuan generasi muda untuk lebih mengenali adat resam, budaya dan agama rakan etnik lain. Penekanan aktiviti dalam modul ini juga bukan sekadar memfokuskan silang budaya semata-mata, malah terdapat juga elemen penerapan semangat patriotisma dan cinta akan negara dalam memperteguhkan akhlak generasi muda dengan amalan sivik dan moral yang baik dikalangan golongan anak muda dalam negara kita.

    Program pendidikan perpaduan di Tabika Perpaduan juga antara usaha jabatan menerapkan elemen nilai murni dan kesepaduan bermula diperingkat awal persekolahan. Di Selangor terdapat sebanyak 182 kelas Tabika Perpaduan dengan bilangan kanak-kanak daripada pelbagai etnik seramai 4,196 orang direkodkan pada pendaftaran awal tahun 2020. Kanak-kanak seawal usia 4 hingga 6 tahun diberi penekanan kepada pemupukan, menyemai, semangat kejiranan dan pendedahan hidup bermasyarakat bersama kawan-kawan yang berlainan etnik, agama, budaya dan adat resam. Pemupukan seawal usia ini penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing dan berfikiran positif.

    Sesungguhnya,usaha penyatupaduan dalam masyarakat kita untuk menyemarakkan semangat perpaduan adalah tanggungjawab semua orang, dalam memastikan kelestarian keharmonian dan kedamaian yang kita ada pada hari ini. Semua pihak perlu tampil bekerjasama menjulang semangat kenegaraan dengan jujur ikhlas untuk memastikan perpaduan yang diidamkan oleh semua rakyat Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.