Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

312) MENGGUBAL SEKSYEN 117

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai sebarang usaha untuk menggubal Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi membenarkan ibu bapa seorang anak di bawah umur 18 tahun mengislamkan anaknya secara sepihak?

    Suatu Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2019 telah diwartakan pada 18 Julai 2019 (RUU) untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri pada 31 Julai 2019. Antara pindaan yang dicadangkan dalam RUU tersebut adalah seperti berikut:

     

    • pindaan kepada seksyen 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS) iaitu untuk mengecualikan seseorang yang belum berumur lapan belas tahun daripada kehendak mengucap dua kalimah syahadah bagi tujuan pemelukan Islam; dan
    • pindaan kepada perenggan 117(b) EPAINS iaitu meminda perkataan “ibu dan bapa atau penjaganya” kepada perkataan “ibu atau bapa atau penjaganya” bagi membenarkan ibu bapa seorang anak di bawah umur lapan belas tahun mengislamkan anaknya.

    Cadangan pindaan perenggan 117(b) EPAINS 2003 tersebut telah disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 dalam kes Subashini a/p Rajasingam lwn Saravana a/l Thangatoray yang mentakrifkan perkataan “parent” dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai dengan salah seorang ibu atau bapa. Cadangan pindaan ini juga selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 4 Ogos 2009 yang memutuskan, antaranya “apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak di bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam”. Pihak MAIS juga telah mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk mewartakan RUU tersebut sebelum ia dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri.

    Walau bagaimanapun, sebelum sidang Dewan Negeri bulan Julai 2019 tersebut bermula, beberapa orang ahli politik telah menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan peruntukan yang membolehkan pemelukan Islam kanak-kanak secara unilateral dibuat. Bantahan tersebut adalah berdasarkan kepada keputusan kes Indira Gandhi a/p Mutho lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan lain-lain pada tahun 2018, di mana Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa perkataan “parent” dalam Perlembagaan Persekutuan bermaksud kedua-dua ibu dan bapa. Keputusan ini adalah suatu keputusan yang berbeza dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini pada tahun 2007. Bantahan ini juga turut mendapat liputan pelbagai media dan sidang Dewan Negeri pada masa itu telah ditangguhkan tanpa pembentangan RUU tersebut.

    Melihat kepada perkembangan semasa, pada masa ini suatu permohonan juga telah difailkan di Mahkamah Persekutuan oleh M. Indira Ghandhi dan 13 lagi terhadap 8 Kerajaan Negeri (Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor) untuk membatalkan peruntukan enakmen negeri yang memperuntukkan pengislaman kanak-kanak secara unilateral iaitu oleh salah seorang ibu atau bapa. Justeru itu, cadangan untuk mengadakan peruntukan unilateral tersebut adalah tidak sesuai dibincangkan pada masa ini, sehingga suatu keputusan muktamad berhubung isu pemelukan Islam kanak-kanak ini diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam hal ini juga, campur tangan oleh Kerajaan Persekutuan amat perlu bagi mencari satu titik pertemuan sebagai penyelesaian komprehensif dalam kes kekeluargaan atau pertikaian di antara dua agama yang berbeza sama ada dengan menubuhkan satu jawatankuasa mediasi antara agama dalam kes-kes melibatkan dua agama yang berlainan atau menubuhkan mahkamah keluarga khas di bawah Mahkamah Sivil yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang arif dalam kedua-dua bidang iaitu undang-undang sivil dan syariah (dalam kes seperti ini) bagi meraikan kedua-dua pihak yang berlainan agama.

Lampiran

Tiada Lampiran.