Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

129) MENGAWAL TANAH REZAB MELAYU

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengawal 'tanah rezab melayu' supaya tidak dimanipulasikan oleh pihak luar untuk mengejar keuntungan hasil penjualan tanah?

    Pengenalan

    Untuk makluman Yang Berhormat, pengurusan Tanah Rizab Melayu yang telah diwartakan adalah tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu Bab 142 (ERM 1933).  Terdapat dua (2) kategori Tanah Rizab Melayu iaitu Tanah Rizab Melayu pegangan Melayu dan Tanah Rizab Melayu bukan pegangan Melayu.  Bagi Tanah Rizab Melayu pegangan Melayu, kelulusan pembangunan tanah adalah merujuk kepada pemakaian Pekeliling PTGS Bilangan 3/1994. Manakala bagi Tanah Rizab Melayubukan pegangan Melayu, kelulusan pembangunan diproses seperti biasa mengikut Kanun Tanah Negara.

    Batal ganti rizab Melayu

    Kerajaan Negeri melalui Pengarah Tanah dan Galian Selangor juga telah mengeluarkan dua (2) pekeliling berhubung dasar dan garis panduan pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu iaitu Pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 dan Pekeliling PTGS Bilangan 3/2015. Kedua-dua pekeliling ini telah menekankan mengenai proses pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu yang perlu dijalankan secara serentak.  Ini termasuk urusan pembatalan Tanah Rizab Melayu yang dilaksanakan bagi penyediaan tapak untuk kemudahan awam.

    Pembangunan Usahasama

    Kerajaan Negeri juga ada menerima permohonan pembangunan secara usaha sama daripada syarikat bukan Melayu untuk memajukan tanah-tanah rezab Melayu. Perkara ini dibenarkan mengikut ERM 1933 selagi ianya tidak melibatkan pemilikan tanah rezab Melayu kepada bukan Melayu selaras dengan Seksyen 7 ERM 1933 yang menyatakan tiada tanah rezab Melayu yang boleh dijual, dipajak atau dilupuskan kepada orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu juga tidak boleh bertindak di bawah surat kuasa wakil untuk menjalankan pindahmilik, gadaian atau pajakan bagi tanah pegangan Melayu. Pemakaian surat kuasa wakil bukan Melayu bagi tanah pegangan Melayu adalah bagi tujuan permohonan tukar syarat nyata tanah, pecah sempadan, cantuman tanah adalah dibenarkan dengan syarat PA Khas untuk tujuan itu sahaja dan bukan PA Am yang membolehkan semua urusan tanah dibuat.

    Urusniaga

    Adalah jelas melalui peruntukan Seksyen 7 ERM 1933 bahawa Tanah Rizab Melayutidak boleh dijual, dipajak atau dilupuskan kepada bukan Melayu.  Selain orang Melayu yang boleh memiliki tanah rizab Melayu, pertubuhan, perbadanan atau syarikat yang telah disenaraikan di dalam Jadual Ketiga dan disiarkan dalam Warta juga boleh memiliki tanah rizab Melayu. Instrument urusniaga yang melibatkan Tanah Rizab Melayu perlu ditandatangani dihadapan Pentadbir Tanah Daerah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.