Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
215) MENGAMBIL ALIH SYARIKAT BEKALAN AIR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah yang ditawar kepada syarikat-syarikat bekalan air di Negeri Selangor
Nilai asal yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Pemegang Konsesi pada 12 Februari 2009 adalah sejumlah RM5.7bilion. Tawaran asal tersebut telah ditolak oleh kesemua Pemegang Konsesi atas alasan nilai yang ditawarkan adalah terlalu rendah dan tidak cukup untuk menampung semua obligasi hutang Pemegang Konsesi.
Lanjutan dari beberapa siri rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri telah menyemak semula nilai tawaran asal tersebut dan telah bersetuju supaya nilai tawaran kepada Pemegang Konsesi dianggarkan pada jumlah RM9.218 bilion. Nilai RM9.218 bilion yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah tidak lebih dari nilai yang akan dibayar oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Kerajaan Negeri Selangor sebagai balasan ke atas aset-aset bekalan air yang akan diambil alih oleh PAAB. Nilai RM9.218 yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah mengandungi nilaian ke atas aset, nilaian ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung oleh Pemegang Konsesi yang berkaitan khusus dengan perkhidmatan air sahaja (water related activities only).
Penilaian yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri adalah dibuat berdasarkan Audited Account Pemegang Konsesi dan anggaran setakat 30 Jun 2009. Dalam membuat penilaian ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menggunakan kaedah 1 x Nett Book Value sebagai mana kaedah penilaian yang dipersetujui oleh PAAB. Dalam menentukan nilai yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri telah mengambil kira elemen-elemen mengenai jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh pemegang saham di dalam Syarikat Konsesi Air, tempoh pelaburan yang telah dibuat, jumlah hutang yang ditanggung, dan pulangan keuntungan sebanyak 12% atas pelaburan yang telah dibuat oleh Pemegang Saham. Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan manamana pihak.
Namun demikian, nilai RM9.218 bilion tersebut adalah anggaran sahaja. Nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan ditentukan selepas proses due diligence disempurnakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juru perunding yang dilantik. Sekiranya wujud perbezaan dan/atau ketidaktepatan ke atas nilai yang dianggarkan selepas proses due diligence disempurnakan, maka nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan diselaraskan sebagaimana patut.
-
Apakah halangan-halangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam proses mengambil alih syarikat bekalan air dan cara-cara penyelesaian.
Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi. Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa:
- Asas penilaian secara Capitalised Value yang dibuat oleh Kerajaan Negeri tidak seiring dengan prinsip penilaian kewangan yang biasa diguna pakai dan diterima umum;
- Nilai tawaran hanya mengambil kira sebahagian daripada jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh Pemegang Konsesi dan tidak mengambil kira usaha/ganjaran yang sepatutnya diterima oleh Pemegang Saham dalam mempelopori perniagaan; dan
- Nilai yang ditawarkan tidak mencukupi untuk menampung obligasi jumlah hutang dan pinjaman Pemegang Konsesi.
Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah mengadakan beberapa siri rundingan semula dengan Kerajaan Negeri Selangor. Rundingan semula ini telah bermula semenjak 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi ahli dalam jawatan kuasa ini selain daripada agensi Kerajaan Persekutuan seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Setelah beberapa siri rundingan diadakan, Model penstrukturan semula yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor telah dipersetujui diterima oleh Jawatankuasa tersebut untuk dijadikan asas rundingan dengan Pemegang Konsesi. Dalam menentukan nilai yang akan ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada kaedah penilaian yang digunakan oleh PAAB iaitu 1 x Nett Book Value.
Berdasarkan kepada kaedah penilaian yang ditetapkan oleh PAAB, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat penilaian mengambil alih kesemua Pemegang Konsesi Air di Negeri Selangor untuk disusun semula di bawah satu struktur baru yang akan terdiri dari sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Nilai yang dipersetujui untuk ditawarkan dan dirundingkan dengan Pemegang Konsesi adalah tidak lebih dari RM9.218 bilion.
Bermula dari 10 Jun 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan semula mengenai nilai tawaran baru sejumlah RM9.218 bilion dengan Pemegang Konsesi Air. Hasil dari rundingan tang telah dibuat setakat ini, dua Pemegang Konsesi iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tiada halangan untuk menerima nilai yang ditawarkan itu. Namun bagi Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd dan SYABAS, kedua Pemegang Konsesi ini telah mengemukakan tawaran balas yang tinggi melebihi apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.
Penilaian ke atas jumlah RM9.218 bilion yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pemegang Konsesi Air adalah berdasarkan kepada analisa yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri ke atas Audited Account setiap Syarikat Konsesi Air. Nilai yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini adalah nilai maksima sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kerajaan Negeri adalah tidak berupaya untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi dari nilai yang telah dipersetujui oleh PAAB. Ini adalah kerana bayaran yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi adalah tertakluk kepada jumlah yang akan dibayar oleh PAAB kepada Kerajaan Negeri.
Selain dari itu, sekiranya nilai yang tinggi ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada operasi operator baru yang akan dilantik oleh Kerajaan Negeri selepas penstrukturan disempurnakan. Nilai pengambilalihan yang tinggi akan menyebabkan kadar sewa pajakan yang tinggi perlu dibayar oleh operator baru kepada PAAB. Kadar sewa pajakan yang tinggi yang akan ditanggung oleh operator yang baru kelak akan menyebabkan kos operasi meningkat dan akhirnya perlu diserapkan dalam bentuk tarif tinggi yang akan ditanggung oleh pengguna rakyat Negeri Selangor. Keadaan ini adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Halangan utama dalam melaksanakan penstrukturan semula ini adalah nilai ekuiti yang tinggi diminta oleh Pemegang Konsesi sebagai pampasan yang perlu dibayar akibat penamatan kepada Perjanjian Konsesi Air sedia ada. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa nilai ekuiti yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah merupakan harga yang berpatutan kerana selain Kerajaan Negeri mengambil alih pinjaman Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri turut membayar pulangan keuntungan sebanyak 12% kepada Pemegang Konsesi. Kerajaan Negeri Selangor mematuhi peruntukan Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai. Nilai pampasan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pemegang Konsesi adalah merupakan pampasan yang memadai.
Hasrat untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air mengikut cadangan Kerajaan Negeri Selangor perlu dilaksanakan kerana cadangan penstrukturan ini adalah memenuhi semua ciri yang ditekankan oleh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya halangan kepada pelaksanaan penstrukturan hanya disebabkan oleh perbezaan nilai yang ditawarkan dan nilai yang ingin diterima oleh Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri bersedia untuk membawa perkara pertikaian mengenai nilai tersebut untuk disemak dan ditentukan oleh satu badan penilai bebas yang akan dilantik berdasarkan kepada persetujuan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi. Sebarang keputusan yang dibuat oleh badan penilai bebas tersebut adalah muktamad dan akan dipatuhi oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi.