Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
340) MENCEGAH BANJIR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan jumlah kawasan hotspot banjir yang ada di seluruh Negeri Selangor dan apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi menghadapi cabaran banjir yang turut terjadi akibat perubahan iklim.
Pada tahun 2023, sebanyak 97 lokasi telah disenaraikan sebagai kawasan hotspot banjir di seluruh Daerah di Negeri Selangor. Kawasan hotspot banjir ditentukan berdasarkan kekerapan banjir yang berlaku di lokasi tersebut melebihi tiga (3) kali berdasarkan rekod kawasan banjir pada tahun 2020 hingga 2022. Senarai lokasi mengikut Daerah adalah seperti berikut:-
Klang (23 Lokasi)
- Taman Sri Muda, Klang
- Taman Sentosa (Jalan Kebun Nenas)
- Taman Saujana (Jalan Raja Nong dan Jalan Sungai Jati)
- Bukit Kemuning, Klang
- Kampung Jalan Kebun
- Kampung Johan Setia
- Kampung Bukit Naga
- Kampung Jawa, Klang
- Kampung Delek (Jalan Yadi)
- Kampung Sungai Sireh
- Kampung Rantau Panjang (Jalan Bakti)
- Kampung Teluk Gong, Teluk Gong
- Taman Teluk Gedung Indah
- Taman Melawis/ Taman Teluk Pulai
- Jalan Tengku Kelana, Klang
- Taman Bukit Kemuning, Klang
- Taman Meru Utama
- Taman Daya Meru
- Taman Intan, Kapar
- Taman Seri Sementa, Kapar
- Kampung Perepat, Kapar (Jalan Benteng dan Jalan Kenangan)
- Pulau Indah, Klang
- Pelabuhan Klang/ Port Klang
Gombak (13 Lokasi)
- Taman Sri Selayang
- Jalan B27 Jusco/ Aeon Rawang
- Taman Rahmat Jaya
- Kampung Sungai Bakau
- Kampung Sungai kertas
- Kampung Melayu Sri Kundang
- Persimpangan Bukit Botak
- Jalan 11C Selayang Baru
- Jalan 21, 23 & 62 Selayang Baru
- Jalan Laksamana 10 Selayang
- India Settlement, Batu Caves
- Kawasan Perindustrian Sungai Bakau
- Kawasan Orang Asli Sungai Buluh
Petaling (11 Lokasi)
- Kampung Budiman
- Kampung Melayu Subang
- Kampung Tengah, Puchong
- Kampung Kuala Sungai Baru
- Kampung Bukit Lanchong
- Kampung Kebun Bunga
- Kampung Baru HICOM, Seksyen 26
- Jalan S/K 9/ Sek. Keb. Sri Serdang
- Seksyen 13, Shah Alam
- Lebuhraya KM2.7 Selatan BESRAYA
- Anak Sungai Patiliat, Seri Kembangan
Hulu Langat (19 Lokasi)
- Jalan Reko, Pekan Kajang
- Kampung Batu 10, Jln Cheras
- Kampung Sungai Serai
- Kampung sungai Jernih
- Kampung Sungai Sekamat
- Kampung Sungai Michu
- Kampung Sungai Gahal
- Kampung Sungai Lui
- Kampung Sungai Machang, Beranang
- Kampung Bangi Lama
- Kampung Bukit Dukong (RNR)
- Kampung Simpang Balak
- Kampung Tasik Permai, Ampang
- Sesapan Batu Rembau
- Felcra Kg. Sg. Semungkis
- Taman Mahkota, Kajang
- Taman Desa Seroja, Kajang
- Taman Hijau, Kajang
- Taman Bangi, Kajang
Sepang (19 Lokasi)
- Kampung Giching
- Kampung Chincang
- Kampung Salak Tinggi
- Kampung Chemperai
- Kampung Sri Tanjun
- Kampung Lalang
- Kampung Ampar Tenang
- Kampung Sungai Buah
- Kampung Sungai Merab Jaya
- Kampung Sungai Merab Dalam/ Luar
- Kampung Desa Putra, Sungai Merab
- Kampung Jenderam Hilir
- Taman Jenderam Aman
- Kampung Orang Asli Sungai Melut
- Kampung Org. Asli Batu 28, Jend. Hilir
- Taman Delima, Dengkil
- Taman Baiduri, Dengkil
- Taman Dengkil di Pekan Dengkil
- PUSPEN Daerah Sepang, Dengkil
Kuala Langat (5 Lokasi)
- Taman Sri Jaromas, Jenjarom
- Kampung Bukit Changgang
- Jalan Perepat, Taman Dato Hormat
- Kampung Sungai Nangka, Banting
- Kampung Kebun Baru, Teluk Panglima Garang
Sabak Bernam (2 Lokasi)
- Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim (KM44-KM45)
- Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan
Kuala Selangor (4 Lokasi)
- Kampung Sri Aman
- Kampung Sri Sentosa
- Kampung Parit Mahang
- Kampung Rantau Panjang
Hulu Selangor (1 Lokasi)
Kampung Sungai Nilam
Sebagai langkah menghadapi perubahan iklim, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.
Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-
- Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
- Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
- Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
- Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer – Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
- Melebar dan mendalamkan sungai seperti Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang.
- Menaiktaraf sistem saliran.
Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-
- Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
- Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
- Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
- Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
- Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
- Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).
- Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
- Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
- Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.
Selain itu, Kerajaan Negeri sedang mengkaji cadangan kaedah kawalan air di sumber atau control-at-source. Cadangan ini menggalakkan kawalan banjir dari segi perbandaran di mana syarat akan dikenakan pada pembinaan bangunan yang baru untuk menyediakan takungan air hujan dalam bangunan sebelum mengalir ke sistem saliran.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji kaedah baru untuk menghubungkan kolam atau tasik sedia ada dengan sungai secara berperingkat bagi tujuan pengurusan banjir dan bekalan air.