Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

118) MENARA TELEKOMUNIKASI HARAM

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Menerangkan prosedur-prosedur mendirikan menara pemancar telekomunikasi di negeri Selangor dan prosedur aduannya

    Semua permohonan pembinaan akan dibuat kepada Seksyen PBT, UPEN Selangor dan proses permohonan ini mengikut apa yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2002. Pada Disember 2007, Kerajaan Negeri telah meluluskan satu Garis Panduan Pembinaan Menara Struktur Sistem Pemancar Telekomunikasi di atas Tanah Perbekalan Air Selangor (SYABAS) di mana ia menyatakan prosedur pembinaan struktur telekomunikasi ini secara lebih terperinci.

    Mengenai aduan pula, Kerajaan Negeri telah membangunkan satu Sistem Talian Aduan Rakyat (STARS) untuk memudahkan aduan dibuat oleh rakyat mengenai apa juga permasalahan. Talian aduan ini di bawah pengawasan Bahagian Korporat, SUK Selangor. Aduan ini boleh dibuat secara online di http://stars.selangor.gov.my

  2. Apakah peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Jaringan Selangor dalam mendirikan menara-menara pemancar telekomunikasi?

    Kumpulan Jaringan Selangor (KJS) merupakan sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelaras dan
    membangunkan infrastruktur telekomunikasi secara lebih tersusun dan teratur selaras dengan hasrat untuk mengatasi blind spot di Selangor.

    KJS bertindak sebagai pusat setempat untuk menguruskan permohonan permit bagi pembinaan struktur telekomunikasi oleh syarikat-syarikat telekomunikasi. KJS akan memproses setiap permohonan dan jika ia memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, ia akan dimajukan ke PBT berkenaan untuk proses seterusnya.

    KJS telah diberikan lesen NFP (network facility) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan mereka membina dan memiliki struktur telekomunikasi di Selangor.

  3. Bagaimana orang ramai dapat mengenal pasti bahawa sesebuah menara itu sah atau tidak?

    Setiap tapak struktur telekomunikasi yang sah akan mempunyai papan tanda yang mana akan memberikan maklumat tentang pemilik struktur dan tempoh permit kelulusan struktur tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.