Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
169) MENANGANI KENAIKAN KOS SARA HIDUP
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat Selangor menghadapi isu kenaikan kos sara hidup untuk tahun 2023?
Isu kos sara hidup sentiasa menjadi kerisauan rakyat khususnya mereka yang berada dalam kalangan golongan berpendapatan rendah iaitu kelompok B40. Beberapa usaha yang mendorong prestasi pengukuhan ekonomi telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sesuai dengan keperluan semasa untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 menggantikan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini telah mewujudkan mekanisme, inisiatif dan pendekatan baharu serta kebanyakan program-program di bawah ISP ini telah ditambah baik sejajar untuk pemberdayaan rakyat.
Antara program yang telah ditambah baik adalah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dimana ianya telah disusun semula dari Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja golongan ibu tetapi juga anggota keseluruhan keluarga dengan menyasarkan sebanyak 30,000 buah keluarga dengan bantuan RM300 bagi setiap bulan untuk membeli barangan keperluan asas dan peralatan pendidikan.
Tidak ketinggalan juga program-program bantuan peningkatan pendapatan yang ditawarkan kepada rakyat Negeri Selangor seperti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2008 dan memberi fokus dalam membantu meningkatkan pendapatan dengan memberi bantuan berbentuk mesin ataupun peralatan kepada golongan B40 di Negeri Selangor. Nilai manfaat iaitu sebanyak RM5,000.00 bagi setiap permohonan telah digunakan sejak tahun 2014 dan ianya dilihat sudah tidak relevan. Justeru, atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor, pada tahun 2022, nilai had siling tersebut telah dinaikkan kepada RM10,000.00 disebabkan harga mesin dan peralatan yang meningkat saban tahun. Kenaikan nilai manfaat ini diharapkan dapat membantu golongan B40 yang layak untuk menerima mesin atau peralatan yang lebih berkualiti, lebih berteknologi dan tahan lama sesuai dengan harganya supaya dapat digunakan untuk jangka masa yang panjang.
Selain itu, Program Jom Shopping Perayaan juga telah ditambah baik dengan meningkatkan nilai manfaat daripada RM100 kepada RM200 serta had pendapatan penerima manfaat juga dinaikkan kepada RM3,000 sebulan. Kerajaan Negeri juga telah membenarkan penerima bantuan Program Skim Mesra yang menepati syarat kelayakan untuk turut memohon dalam Program Jom Shopping Perayaan.
Terdapat juga program-program lain di dalam ISP yang memberi fokus dalam membantu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban kos sara hidup sekali gus dapat membasmi kemiskinan seperti Dana Usahawan Mikro Selangor, Program Bantuan Peralatan I-SEED dan Skim Hijrah Mikrokredit.
-
Apakah usahasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah tersebut?
Berkaitan menangani isu kos sara hidup, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diberi keutamaan untuk meningkatkan pendapatan sekaligus mengeluarkan seramai mungkin miskin tegar di negeri ini.
Untuk makluman Tuan Speaker, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2019, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan golongan miskin tegar adalah isi rumah yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Nasional RM1,169.00.
Di antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT), bagi memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar tercapai menjelang akhir tahun 2025. Pada tahun 2022, Kementerian Ekonomi telah melaksanakan Program BMT Fasa 1 di 4 daerah iaitu Gombak, Sabak Bernam, Petaling dan Kuala Selangor. Perincian lokaliti dan bilangan ketua isi rumah yang terlibat adalah seperti berikut:
Ketua Isi rumah (KIR) telah dikenalpasti oleh Kerajaan Persekutuan daripada data eKasih dan iDamak yang mana kesemuanya adalah golongan miskin tegar.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah dilantik oleh Kementerian Ekonomi sebagai agensi pembayar yang akan menguruskan kewangan, penyaluran dan perolehan kepada pembekal.
Peruntukan oleh Kementerian Ekonomi berjumlah RM6,221,700.00 bagi projek/ program yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi seperti Program Bantuan Peralatan Perniagaan dan Nelayan, Projek Tanaman Kontan, Projek Penanaman Fertigasi Berkelompok dan Kursus Pembangunan dan Pengurusan Kewangan.
Pada tahun 2023, Kementerian Ekonomi meneruskan Program BMT ini bagi Fasa 2 dengan melibatkan empat (4) lagi daerah dengan pertambahan jumlah Ketua Isi Rumah kepada 632 individu. InshaAllah kita yakin saban tahun akan ada pertambahan jumlah miskin tegar yang berjaya kita tingkatkan pendapatannya sekaligus membantu mereka menampan atau menampung kos sara hidup.