Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

223) MENANGANI KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat Selangor menghadapi isu kenaikan kos sara hidup?

    Ketidaktentuan ekonomi global kini dilihat menjadi antara penyebab utama kenaikan kos sara hidup. Menyedari kos sara hidup yang tinggi dan masih membebani hidup rakyat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Selangor bukan sahaja penyumbang utama kepada KDNK negara, malah sentiasa terkehadapan dan menjadi peneraju dalam kalangan negeri-negeri lain dalam menyediakan inisiatif-inisiatif yang berpaksikan rakyat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih di dalam kitaran kemiskinan. Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringkankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Program IPR yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor akan terus diperkukuh dan dipelbagaikan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

    Program-program IPR sedia ada seperti program HIJRAH, Bantuan Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor dan pelbagai lagi diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam mengimbangi pertumbuhan sosial dan ekonomi. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri ini telah memperlihatkan keberkesanan yang amat positif dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat di Negeri Selangor.

     

  2. Apakah usahasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah tersebut?

    Antara salah satu usaha kerjasama yang sedang dilaksanakan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu penganjuran Program Desa Lestari yang merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui pelaksanaan projek-projek ekonomi secara berkomuniti melalui platform

    Kerajaan Negeri akan terus melihat program-program sedia ada untuk diselaras dan ditambahbaik dengan kerjasama dan penglibatan Kementerian/ Jabatan/ Agensi di peringkat Persekutuan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai lagi. Ini adalah bagi membolehkan semua program dan inisiatif pemberdayaan dan pengupayaan sosio ekonomi negeri ini dapat diperkukuh dan dipelbagai dalam memastikan ianya berimpak tinggi dan dapat memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.