Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

90) MENAIKTARAF PENAPIS LOJI RAWATAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan akan menaiktaraf penapis di LRA Batu11 Cheras dan Bukit Tampoi untuk mengatasi permasalahan pencemaran air sungai oleh tahap amonia yang sering berlaku?

    Kejadian henti tugas loji penapis air (LPA) Bukit Tampoi dan LPA Batu 11 Cheras adalah berpunca dari pencemaran sumber air mentah dari Sungai Langat. Pencemaran tersebut adalah disebabkan oleh kandungan ammonia yang melebihi paras yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sumber-sumber ammonia di dalam sungai adalah :-

     

    • baja untuk pembangunan-pembangunan tanah dan
    • tapak pelupusan sampah leachate dan pembangunan tanah yang tidak terkawal.
    • kumbahan yang tidak dirawat daripada penternakan ayam itik, rumah- rumah setinggan di tepi sumber air, tangki-tangki septik, kilang-kilang, tandas-tandas sementara di tapak-tapak
    • air kumbahan yang dilepaskan daripada kawasan-kawasan perumahan, komersil, institusi dan kemudahan-kemudahan
    • pelepasan air kumbahan dan bahan-bahan kimia bertoksik daripada pelbagai
    • aliran air di permukaan disebabkan oleh hujan lebat
    • minyak dan air kumbahan daripada bilik-bilik air dan dapur
    • efluen loji olahan kumbahan perbandaran

     

    Pada ketika ini, piawaian untuk air mentah bagi loji-loji pembersihan air (LPA) iaitu Kualiti Air Mentah adalah ditetapkan oleh Jabatan Bekalan Air, Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).

     

    Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, paras ammonia yang dibenarkan bagi setiap loji rawatan air untuk meneruskan proses rawatan adalah hanya pada tahap 1.5 ppm. Melihat kepada keadaan yang berlaku di Loji Rawatan Air Bukit Tampoi dan Loji Batu 11 Cheras, kandungan ammonia yang dicatatkan pada waktu itu adalah pada kadar 3 – 4 ppm. Kadar ammonia yang tinggi tidak sesuai dirawat kerana pihak operator loji rawatan air terpaksa menggunakan dosing bahan kimia yang banyak yang mana akan memberi kesan buruk pada kualiti air minuman dan juga pada kesihatan pengguna. Walaupun terdapat cadangan untuk menaik taraf loji rawatan air bagi mengatasi masalah pencemaran ammonia ini, ianya bukanlah penyelesaian yang terbaik kerana paras ammonia yang tinggi masih tidak boleh dirawat sekaligus bertentangan dengan garis panduan yang telah dikeluarkan.

     

    Oleh yang demikian, cara terbaik untuk mengatasi masalah pencemaran ammonia ini adalah dengan menyediakan sumber air mentah yang mencukupi bagi membolehkan proses pencairan (dilution) dilakukan secara semulajadi. Dengan kapasiti air sungai yang banyak, kandungan ammonia yang tinggi dapat dipulihkan dan seterusnya dapat mengelakkan kejadian penutupan loji akibat pencemaran ammonia.

     

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan pelaksanaan Projek Mitigasi Tambahan oleh Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) untuk meningkatkan bekalan air mentah di Sungai Langat melalui penyaluran air mentah dari terowong yang telah siap dibina ke Sungai Langat. Projek ini dijadualkan siap pada akhir tahun 2014 ini dan dengan siapnya projek ini, sumber air mentah tambahan boleh dialirkan ke Sungai Langat terutamanya ketika paras sungai rendah bagi tujuan untuk meningkatkan kebolehan penulenan sendiri air sungai.

     

    Selain dari penyaluran air mentah tersebut, bagi tujuan menjaga kebersihan sungai- sungai di Selangor, Kerajaan Negeri adalah tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai. Tindakan terhadap pencemar boleh diambil melalui:

    1. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Effluen Perindustrian), 1979

     

    1. Enakmen LUAS 1999; dan

     

    • Akta Kerajaan
  2. Nyatakan perancangan Kerajaan dalam usaha penukaran paip-paip bekalan air yang uzur

    Melalui Perjanjian   Konsesi   yang   telah   ditandatangani   di   antara    Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS, berkuat kuasa pada 01 Januari 2005, semua aset bekalan air telah diserahkan untuk dikendalikan oleh SYABAS. Bermula dari tarikh tersebut, SYABAS adalah satu-satunya pihak tunggal yang telah diberikan kuasa untuk mengendalikan, menyelenggarakan dan mengoperasikan semua aset air di Negeri Selangor, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Sebagai operator tunggal, SYABAS telah dipertanggung jawabkan untuk membuat meneliti semula semua sistem agihan termasuk paip perhubungan yang berusia lebih 50 tahun. Cadangan penukaran paip perhubungan berusia lebih 50 tahun memang telah ada di dalam cadangan kerja-kerja pembangunan yang akan dilaksanakan oleh SYABAS menggunakan peruntukan CAPEX.

    Namun demikian, melihat kepada masalah operasi yang dihadapi oleh SYABAS, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang ke atas semua masalah operasi yang dihadapi oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.

    Di bawah Model baru itu, Kerajaan Negeri Selangor boleh menyediakan dasar bagi memastikan paip-paip perhubungan yang berusia lebih 50 tahun akan ditukar secara berfasa setelah mendapat kelulusan dari SPAN.

Lampiran

Tiada Lampiran.