Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
223) MEMPERTINGKATKAN PRESTASI UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL)
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kaedah audit dalaman yang dilakukan bagi menjamin prestasi UNISEL?
Semua program baru, sebelum ditawarkan kepada pelajar akan dinilai oleh
Malaysia Quality Assuarance (MQA) terlebih dahulu untuk mendapatkan akreditasi provisional. MQA akan dipanggil menilai program yang sama apabila kumpulan pelajar pertama program tersebut berada di semester akhir sebelum tamat bergraduat bagi mendapatkan akreditasi penuh.
- UNISEL mempunyai sebuah pusat yang ditubuhkan khusus untuk mengawal dan menjamin kualiti program-program yang ditawarkan. Pusat ini dinamakan Pusat Akreditasi dan Jaminan Kualiti Akademik. Pusat ini kini diketuai oleh seorang Pengarah bertaraf Profesor yang mempunyai pengalaman dalam menjamin kualiti pendidikan lebih daripada 30 tahun di 2 buah institusi pendidikan tinggi.
- Pada masa ini Pusat ini telah banyak membantu memastikan program-program yang ditawarkan memenuhi kehendak MQA. Di samping itu pusat ini juga telah mengeluarkan 2 dokumen untuk panduan staf akademik dalam menjalankan tugas mereka. Dokumen tersebut adalah Petunjuk Penilaian Prestasi Staf Akademik dan Lecturers’ Guide. Pusat ini juga diminta bersama menggariskan terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan staf akademik serta syarat-syarat kenaikan pangkat staf akademik agar kualiti program yang ditawarkan dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan.
- Seperti universiti lain, UNISEL mempunyai Senat yang merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam hal-hal akademik yang bersidang setiap bulan yang sentiasa memberi arahan dan membuat keputusan serta meluluskan apa jua dasar/polisi untuk dilaksanakan oleh Fakulti dan staf akademik.
- Dari segi prestasi kewangan dan pengurusan, UNISEL sentiasa dipantau oleh Lembaga Pengarah. Kini UNISEL sedang dalam proses melantik Juruaudit Dalam yang bertanggungjawab terus kepada Lembaga Pengarah untuk mengaudit urusan kewangan dan pengurusan Universiti secara keseluruhan.
-
Hingga kini sudah berapa kalikah penilai luar berwibawa dijemput membuat penilaian terhadap UNISEL dan apakah hasilnya?
- . Hingga kini Fakulti Kejuruteraan UNISEL telah menjemput penilai luar pada tahun 2004, 2005, 2006, 2007 dan baru-baru ini pada bulan Mac 2009 bagi program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. Penilaian yang dibuat pada tahun 2006 agak intensif bagi program-ijazah kejuruteraan yang ditawar khusus untuk memenuhi keperluan Engineers Academic Council (EAC).
- Antara perkara yang dibangkitkan oleh Penilai Luar adalah dari segi bilangan staf, kelayakan staf dan perlaksanaan Outcome Based Education (OBE). Sehingga kini bilangan dan kualiti staf telah dipertingkatkan dan sedang berusaha untuk terus memperbaikinya. Begitu juga dari segi kaedah pengajaran program-program kejuruteraan. Ianya sentiasa ditambah baik.
- Antara Penilai Luar yang dijemput oleh Fakulti Kejuruteraan adalah Prof. Ir. Dr Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad untuk Kejuruteraan Awam, Prof. Ir. Dr. Shah Rizam Shah Baki untuk Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik dan Prof.. Dr. Azhar Dato’ Abd. Aziz untuk Kejuruteraan Mekatronik dan Mekanikal.
- Bagi beberapa program lain, sekurang-kurangnya Penilai Luar telah dijemput sekali setelah 3 tahun sesuatu program ditawarkan. Penilai Luar telah diminta menilai kurikulum, kertas soalan, kaedah pengajaran dan hal-hal lain yang berkaitan.
-
Berapakah ratio pelajar bagi setiap tenaga pengajar di UNISEL?
- Ratio pelajar bagi setiap tenaga pengajar adalah berbeza bagi sesuatu program dengan satu program yang lain. Selain daripada itu ratio tenaga pengajar yang mengajar kursus umum dan wajib adalah tinggi berbanding dengan kursus teras bagi sesuatu program. Bersama-sama ini disampaikan ratio pelajar bagi setiap tenaga pengajar mengikut program. Dinyatakan juga ratio yang ditetapkan oleh MQA.
- Secara umumnya, Unisel menepati keperluan asas nisbah tenaga pengajar dan pelajar.
- Bersama-sama ini disampaikan ratio pelajar bagi setiap tenaga pengajar mengikut program. Dinyatakan juga ratio yang ditetapkan oleh MQA.