Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

121) MEMPERLUASKAN FIBER OPTIK UNTUK KEMUDAHAN INTERNET

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri akan memperluaskan fiber optik ke seluruh negeri supaya rakyat Selangor mendapat kemudahan internet yang lebih menyeluruh pada kadar lebih berpatutan?

    SMARTSEL Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) telah ditubuhkan pada bulan Mac tahun 2017 untuk membangunkan infrastruktur digital dan telekomunikasi dengan lebih seimbang dan merapatkan kesenjangan digital di antara penduduk di luar bandar dan bandar.

    SMARTSEL juga sedang berinteraksi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan polisi dan perancangan terperinci daripada pihak Kerajaan Pusat yang sedang menyiapkan “National Fiberisation and Connectivity Plan – NFCP dalam masa terdekat. Ini akan membolehkan SMARTSEL membangunkan rangkaian gentian optik telekomunikasi dengan lebih tersusun dan sejajar dengan hala tuju Kerajaan Malaysia. Interaksi dengan SKMM in dilaksanakan agar Kerajaan Negeri Selangor juga boleh menggunakan dana “Universal Service Provision – USP untuk pembangunan infrastruktur digital di kawasan luar bandar yang kekurangan capaian perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

     

    Di samping itu, SMARTSEL juga sedang berbincang dengan pengendali dan pembekal perkhidmatan swasta (service provider – SP) sedia ada untuk bekerjasama bagi menyediakan kemudahan jalur lebar di seluruh kawasan di negeri Selangor. Inisiatif ini selaras dengan misi kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar dengan harga yang berpatutan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan kajian bagi mengenal pasti penyelesaian untuk membina infrastruktur digital khususnya rangkaian data melalui projek “Selangor Wide Area Network – SWAN”. SWAN ini bertujuan untuk menyambungkan semua agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah & Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan rangkaian data dan Internet berkelajuan tinggi termasuk menggunakan teknologi gentian optik telekomunikasi, dan seterusnya melebarkan kemudahan projek dan jalur lebar. Buat masa ini, Projek SWAN masih di tahap kaji selidik.

Lampiran

Tiada Lampiran.