Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
330) MEMPERKUKUH SEKTOR PENDIDIKAN DAN LATIHAN KEMAHIRAN BAGI GOLONGAN BELIA DI KAWASAN LUAR BANDAR SEPERTI SUNGAI BURONG YANG MEMPUNYAI KEBOLEH PASARAN YANG TINGGI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan dan latihan kemahiran bagi golongan belia di kawasan luar bandar seperti Sungai Burong yang mempunyai keboleh pasaran yang tinggi seperti teknologi AI dan pembangunan perisian?
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bahawa belia-belia di kawasan luar bandar tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan, khususnya dalam pendidikan dan latihan kemahiran. Pelbagai inisiatif telah dirangka untuk memastikan akses kepada program latihan berkualiti dalam bidang teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan perisian agar mereka berpeluang bersaing dan berjaya dalam pasaran kerja.
Menyedari bahawa kos pendidikan sering menjadi halangan, Kerajaan Negeri menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk Program IKTISASS. Program ini dirancang untuk memberikan peluang yang sama kepada semua golongan belia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Ini membolehkan belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana B40 dan M40 dapat mengikuti kursus-kursus kemahiran tanpa beban kewangan yang tinggi sekaligus membolehkan mereka fokus kepada pembelajaran dan latihan. Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ini terbuka kepada semua belia yang lahir atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor.
Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga menawarkan Program Kemahiran Profesional dengan kolaborasi bersama syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan Technical University of Munich (TUM). Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri.
Tambahan lagi, Kerajaan Negeri Selangor melalui STDC dengan kerjasama Advance Semiconductor Academi of Malaysia (ASEM), telah memperkenalkan program latihan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Usaha ini dijalankan dengan kerjasama pihak industri bagi memastikan kursus dan latihan yang disediakan sejajar dengan keperluan semasa dan masa depan sektor tersebut.