Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
131) MEMERLUKAN 2 PENGURUSAN KETUA KAMPUNG DAN MPKK
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah keputusan pihak negeri serta EXCO Kampung Tradisi dimana ada sesetengah kampung mempunyai penduduk yang memerlukan lebih seorang ketua kampung sebagai contoh Kg Kanchong Darat jumlah penduduk terlalu besar dan memerlukan 2 pengurusan Ketua Kampung dan MPKK.
Kerajaan Negeri buat masa ini tidak berhasrat atau menjadikan penambahan bilangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai salah satu strategi utama di dalam menangani isu jumlah penduduk kampung yang ramai. Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pengecilan dan pemecahan sempadan kampung atau mewujudkan MPKK baru bukanlah satu-satunya kaedah yang boleh diambil di dalam mengatasi masalah kampung yang berkepadatan tinggi.
Merujuk kepada Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 (PHTSDNS 2035), penetapan ‘Enklaf Desa’ yang merujuk kepada baki kawasan penempatan yang masih mempunyai ciri-ciri fizikal kedesaan merangkumi landskap semula jadi bercirikan desa, seni bina rumah gaya kampung dan halaman kejiranan berkonsepkan kampung bagi sesebuah kampung memerlukan satu kajian lanjut di mana antara cadangan lain yang boleh dipertimbangkan selain pengecilan dan pecahan sempadan adalah pengekalan sempadan dan pengecilan sempadan. Pada masa yang sama, faktor geografi, politik dan kewangan juga memainkan peranan di dalam menilai keperluan mewujudkan MPKK yang baharu.
Untuk makluman, Kerajaan Negeri perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya sebanyak RM54,200 setahun bagi tujuan pembayaran elaun-elaun dan peruntukan program kepada setiap MPKK. Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan bagi tujuan pembangunan fizikal dan infrastruktur. Namun demikian, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi sentiasa bersedia untuk menerima sebarang permohonan dari mana-mana Pejabat Daerah/ Tanah bagi tujuan tersebut. Terkini, Kerajaan Negeri telah pun menerima satu kertas permohonan bagi mewujudkan MPKK baharu di dalam Kampung Telok Gong daripada Pejabat Daerah/ Tanah Klang dan perkara ini sedang diperhalusi sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.