Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

100) MEMBENTERAS AJARAN SESAT

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan ajaran Qadiyani dan ajaran sesat dapat dikawal dari disebarkan di negeri Selangor?

    Beberapa inisiatif telah diambil bagi membendung kesan negatif Ajaran Qadiani dan ajaran sesat terhadap umat Islam di Negeri Selangor seperti berikut:

    1. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengeluarkan Notis Arahan Memberhentikan Aktiviti Solat Jumaat di premis Qadiani berkuatkuasa serta merta pada 24 April 2009.
    2. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah memasang beberapa “Signage” di sekitar premis Qadiani. Hasil maklumat dan pemantauan mendapati papan tanda tersebut telah diconteng dan JAIS telah membuat laporan polis serta memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atas perkara tersebut untuk diambil tindakan.
    3. Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Gombak telah mengeluarkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) kepada pemilik permis pada 1 Jun 2009. Berdasarkan siasatan daripada pejabat tanah Gombak pada 10 dan 13 Julai 2009 pihak pemilik tanah telah mematuhi arahan untuk remedi.
    4. Tindakan Qadiani yang mempertikaikan tindakan MAIS/JAIS yang disalurkan melalui Youtube telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk tindakan lanjut.
    5. Menjalankan program penerangan kepada ahli kariah dan penduduk setempat di Masjid Kg. Nakhoda. JAIS juga telah mengadakan Simposium Serantau Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan kerjasama

    UNITEN untuk memberi penjelasan terhadap isu-isu berkaitan akidah. Sesi penerangan juga dilakukan di daerah-daerah lain melalui programprogram seminar, khutbah, ceramah dan lain-lain mengenai ajaran sesat.

    1. Memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JAKIM mengenai penyebaran risalah Qadiani yang disebar kepada umum untuk diambil tindakan mengikut akta pencetakan.
    2. Mengeluarkan poster Jauhi Ajaran Ahmadiah Qadiani untuk diedar dan ditampal di masjid, surau, sekolah di setiap daerah dan risalah berkaitan untuk diedar kepada masyarakat umum melalui majlis-majlis anjuran JAIS, Pejabat Agama Islam Daerah serta jemputan-jemputan oleh jabatan atau agensi lain.
    3. Hasil pemantauan oleh pihak JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak terhadap premis Qadiani mendapati tiada sebarang aktiviti dan solat Jumaat dijalankan di premis tersebut. Pemantauan berterusan oleh JAIS sentiasa dilakukan terhadap ajaran Qadiani dan ajaran sesat yang lain bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai aktiviti dan pergerakan kumpulan-kumpulan tersebut.
    4. Memperkasakan tauliah mengajar di masjid dan surau Negeri Selangor bagi mengawal pengajar atau penceramah yang membawa fahaman yang mengelirukan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.