Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

95) MEMBASMI KEMISKINAN DAN MENINGKATKAN PENDAPATAN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana strategi 1 dalam Belanjawan 2015, "Membesarkan lapisan kelas menengah melalui Program HIJRAH" mampu membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan?

    Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Dar Al- Qadr Al Hasan Selangor telah memperkenalkan Program HIJRAH Selangor, yang mana merupakan program mikrokredit yang menggabungkan tiga skim iaitu Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel), Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA). Ianya merupakan Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang bertujuan untuk menggalakkan golongan berpendapatan rendah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta melebarkan golongan kelas menengah. Mikrokredit adalah suatu sistem penyaluran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga Berdasarkan beberapa kajian yang telah dijalankan, program mikrokredit ini telah terbukti merupakan salah satu instrumen penting dalam meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan insiden kemiskinan. Selain itu, ianya juga dijangka memberikan impak/ kesan yang lebih cepat terhadap pertumbuhan pendapatan aktiviti ekonomi golongan sasaran. Sehubungan dengan itu, Program HIJRAH ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan rakyat Negeri Selangor, malah berupaya melebarkan golongan kelas menengah.

    Manakala di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan pula, terdapat pelbagai program yang berupaya membasmi kemiskinan, menjana/ meningkatkan pendapatan dan meringankan beban kos hidup rakyat. Secara ringkasnya, terdapat tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan seperti butiran berikut:-

    1. Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
      • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    2. Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
      • Program Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS
    • Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
      • Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
      • Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.

     

    Melalui Program HIJRAH serta program-program pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan yang telah disediakan ini, ianya diharap akan mengurangkan kadar kemiskinan melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan seterusnya melahirkan lapisan kelas menengah.

  2. Apakah peratusan lapisan kelas menengah yang ingin dicapai serta ukuran yang digunakan keluar daripada kemiskinan?

    Kadar kemiskinan ditunjukkan dengan mendapatkan peratusan bilangan masyarakat yang miskin daripada keseluruhan penduduk atau isi rumah yang dikaji. Garis pemisah bagi membezakan di antara yang golongan miskin dan tidak miskin dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada PGK, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat. Justeru itu, PGK digunakan sebagai ukuran bagi menentukan/ menetapkan golongan miskin dan tidak

    PGK peringkat Nasional bagi tahun 2012 bagi Semenanjung Malaysia yang telah ditetapkan untuk kategori miskin adalah berjumlah RM830.00 seisi rumah. Walau bagaimanapun, sebagai negeri termaju, Negeri Selangor tidak boleh menggunakan PGK Nasional. Dengan ini, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju dan memutuskan supaya PGK Negeri Selangor dinaikkan ke paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500.00. Menurut kriteria ini, 30% daripada penduduk Selangor berada di bawah PGK.

    Melalui Program HIJRAH Selangor, Yayasan Dar Al-Qadr Al Hasan Selangor telah merangka satu sasaran yang merangkumi 56,000 peserta menjelang tahun 2017 iaitu 3.5% dari jumlah rakyat miskin Selangor, di mana golongan ini akan diwakili oleh 1,000 orang peserta dari setiap DUN di Selangor. Ukuran utama yang akan digunakan bagi menentukan kejayaan program adalah peningkatan pendapatan peserta sekali ganda berbanding sebelum menyertai Program HIJRAH Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.