Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

204) MEMBANTU KENAIKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Selangor menghadapi isu kenaikan kos sara hidup?

    Anak Syarikat Negeri juga memainkan peranan yang penting dalam mendokong usaha Kerajaan Negeri bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat di Selangor melalui Program Corporate Social Responsibility (CSR).

    Antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menyumbangkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN). Program di bawah jenama Kasih PKNS tersebut merupakan program tahunan yang dilaksanakan sepanjang tahun dan peruntukan diperolehi daripada peruntukan CSR mahupun wang zakat perniagaan PKNS.

    PKNS juga komited meneruskan tumpuan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik khusus bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebanyak 9,000 unit rumah di bawah projek Rumah Selangorku idaman PKNS (RSKU) akan dibina bermula tahun depan hingga tahun 2020. Perancangan projek tersebut membabitkan 12,000 unit termasuk 3,000 unit yang dijangka siap tahun ini. PKNS mengaplikasi elemen cross subsidi iaitu menggunapakai hasil keuntungan projek harga tinggi yang dibangunkan untuk menampung projek sosial PKNS yang berharga antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi setiap unit.

    Kumpulan Perangsang Selangor Berhad anak syarikat di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menjalankan program Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) sejak tahun 2011 yang menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta. Program ini melibatkan kursus dan latihan kemahiran usahawan dan bukan usahawan serta latihan kemahiran insaniah terutama kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan atau berpendapatan rendah iaitu kurang daripada garis kemiskinan Selangor iaitu RM1,500 per isi rumah. Antara kursus dan latihan ditawarkan ialah penternakan, rawatan selepas bersalin, jurubekam klinikal, perkhidmatan baik pulih penghawa dingin, perkhidmatan kontraktor binaan, menjahit, pembuatan kek dan roti, percetakan segera, mutawif (ketua rombongan haji) dan penjagaan kanak-kanak. Program yang turut disertai golongan belia, graduan, penganggur, ibu tunggal, pesara dan orang kelainan upaya (OKU) itu berjaya menjana pendapatan bulanan antara RM500 hingga RM10,000 bagi peserta usahawan penternakan, perkhidmatan spa bergerak (RM500-RM8,000), jurubekam klinikal (RM500-RM10,000), perkhidmatan kontraktor binaan (RM1,500-RM40,000) dan baikpulih penghawa dingin (RM1,500- RM 4,000).

    Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) pula telah mengambil inisiatif dengan memberi insentif berjumlah RM3 juta kepada jemaah haji muassasah Selangor yang bakal menunaikan haji ke Mekah pada tahun ini. Ekoran pencapaian serta kedudukan kewangan semakin kukuh dengan anak syarikat menyumbang dalam pelbagai bentuk pendapatan kepada MBI telah membolehkan program seperti ini dijayakan. Setiap bakal haji yang memenuhi syarat menerima insentif sepenuhnya iaitu RM500 setiap seorang.

    Worldwide Holdings Berhad juga tidak terkecuali dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Selangor bagi meringankan beban akibat dari kenaikan kos sara hidup. Antara program yang telah dilaksanakan adalah aktiviti ibadah korban yang telah dilakukan secara tradisi sejak 14 tahun dahulu. Selain dapat membantu masyarakat setempat, ianya juga dapat meningkatkan jalinan ukhwah sesama warga kerja. Sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan pada tahun ini di mana sebanyak empat ekor digunakan untuk penyempurnaan ibadah korban manakala empat ekor lagi disumbangkan kepada pihak MBI untuk tujuan agihan kepada asnaf fakir miskin di kawasan sekitar dan di tapak-tapak projek. Selain itu, Worldwide Holdings juga turut menyumbang sebanyak RM883,715 bagi pembelian 168 ekor lembu sempena Program Agihan Lembu Korban Peringkat Selangor bagi tahun ini.

    Contoh-contoh program CSR yang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat ini jelas membuktikan usahasama yang erat bersama Kerajaan Negeri demi melihat rakyat di Selangor dapat menjalani kehidupan yang kurang membebankan dek kerana kos sara hidup yang tinggi kini. Kerajaan Negeri bersama-sama anak-anak syarikat akan memastikan kekayaan negeri dapat diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kebajikan kepada rakyat bagi membantu menaikkan pendapatan dan mengurangkan beban sehari-hari.

  2. Apakah inisiatif di peringkat Anak Syarikat Negeri untuk menangani masalah ini?

Lampiran

Tiada Lampiran.