Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
193) MEMAKSIMAKAN PENDAPATAN KERAJAAN
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan untuk memaksimakan pendapatan kerajaan melalui kutipan hasil cukai dan urus niaga berkaitan tanah di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS) ?
Usaha kerajaan untuk memaksimakan pendapatan kerajaan melalui kutipan hasil cukai tanah di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS) adalah seperti berikut:
- Kerajaan Negeri telah meningkatkan sasaran pencapaian prestasi kutipan Cukai Tanah Semasa daripada 90 peratus kepada 95 peratus dan kutipan Tunggakan Cukai Tanah daripada 70 peratus kepada 75 peratus bagi Anugerah Hasil Cukai Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor. Insentif yang diberikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah yang mencapai sasaran juga telah dinaikkan daripada RM100,000.00 kepada RM200,000.00.
- Pemantauan prestasi kutipan hasil Cukai Tanah Semasa dan Tunggakan Cukai Tanah semua Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Hasil, Penyusunan Strategi dan Kewangan Unit Hasil Daerah yang dianggotai oleh Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, semua Pejabat Daerah dan Tanah, dan Bahagian Teknologi Maklumat SUK Selangor. iii. Meneruskan aktiviti Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops. Kutip) yang dimulakan dari tahun 2009 sehingga kini. Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-
- Program Ketuk Pintu (Knock Door) iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
- mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak
tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
- memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
- sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
- Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
- Mengenal pasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
- Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah
Daerah di kawasan pedalaman;
- Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
- Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
- Kerajaan Negeri juga membuat hebahan kepada orang awam melalui laman web Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan MySMS, Radio Hot FM, akhbar Berita Harian dan The Star bagi menggalakkan penukaran alamat di GERAN SPTB supaya Bil Cukai Tanah dapat disampaikan ke alamat terkini pemilik tanah.
Bagi meningkatkan sumbangan hasil daripada urus niaga berkaitan tanah, Kerajaan Negeri juga melaksanakan beberapa aktiviti atau program seperti berikut:-
- Menguatkuasakan Pekeliling Garis Panduan Pembayaran Premium dan Premium Tambahan pada tahun 2010 yang menetapkan supaya pemohon hendaklah membayar dalam tempoh 3 bulan dan tempoh pelanjutan bayaran premium hanya diberikan selama 1 bulan sahaja. Kelulusan pemberimilikan atau tukar syarat tanah tersebut terbatal sekiranya pemohon gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Bagi mengelakkan kelulusan pemberimilikan tersebut terbatal, maka pemohon membayar dalam tempoh yang ditetapkan.
- Program Pemutihan Kilang Haram yang dilanjutkan sehingga Disember 2012 bagi tujuan memutihkan kilang tanpa kebenaran dan mengutip Premium Geran Tanah yang sebelum ini tidak dapat dikutip.
- Skim Pemilikan Tanah Kerajaan bagi tujuan Bangunan Kediaman Persendirian di Negeri Selangor akan menggalakkan bayaran premium tanah di samping:-
- Menyelesaikan masalah orang ramai berkaitan ketidakmampuan menjelaskan bayaran premium tanah;
- Memberi peluang kepada rakyat Negeri Selangor membuat pilihan untuk menentukan kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing.
- Membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan isu pendudukan setinggan di atas tanah Kerajaan; dan
- Mempertingkatkan aspek urus tadbir dalam pentadbiran dan pengurusan tanah Negeri Selangor.
Bagi memastikan tiada ketirisan hasil kutipan royalti bahan-batuan pula, Pentadbir Tanah akan memastikan semua permohonan yang diterima diproses mengikut tatacara dan prosedur yang ditetapkan. Pentadbir Tanah juga akan mengadakan pemantauan berkala ke atas lokasi yang telah diluluskan bagi membanteras pengeluaran secara berlebihan. Hasil royalti bahan batuan (pasir) bagi tahun 2011 adalah berjumlah sebanyak RM16,971,438.08 berbanding pada tahun 2010 yang berjumlah sebanyak RM10,979,494.46.
Pelaksanaan pendaftaran urusan pindah milik tanah dalam masa 1 hari bermula 1 Mac 2010, pengenaan kadar baru fi pendaftaran pindah milik tanah, denda ke atas hakmilik atau surat cara urus niaga yang lewat dipungut iaitu RM100.00 bagi satu hak milik dan peningkatan perserahan pindah milik tanah bagi projek-projek perumahan baru hasil daripada pecah sempadan juga mendorong peningkatan hasil pindah milik.