Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

199) MEDIA SOSIAL MELAPORKAN BANYAK KES REMAJA BAWAH UMUR TERLIBAT DENGAN MASALAH SOSIAL DAN KES ANAK LUAR NIKAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apa usaha Kerajaan Negeri dalam membendung perkara ini?

    Antara usaha Kerajaan Negeri bagi membendung perkara ini masalah sosial dalam kanak-kanak ialah:

    1. Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak

    Kerajaan Negeri melalui JKM dan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah  mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Negeri Selangor 30 November 2023 di tiga (3) buah sekolah di Daerah Sepang.  Program ini juga telah mendapat Kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.  Bagi tahun 2024, JKM telah melaksanakan program ini di 11 buah sekolah di semua Daerah dalam negeri Selangor dan satu di Pusat Aktiviti Kanak-kanak PPR HICOM. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak yang mana antara pengisian program ini memberi pendedahan berkaitan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat serta klik dengan bijak.

     

    2. Khidmat Nasihat dan Kaunseling

    Perkhidmatan ini disediakan kepada ibu di bawah umur atau wanita yang mengandung luar nikah. Seramai 23 orang Pegawai Psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) sentiasa bersedia untuk membantu kanak-kanak dan ahli keluarga yang traumatik. Remaja dan wanita yang telibat dengan masalah sosial juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti pembuangan bayi. Talian ini beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

     

    3. Pemerkasaan Keibubapaan

    Program KASIH Keibubapaan Digital telah dilaksanakan dengan kerjasama LPPKN Selangor bagi mendedahkan ibu bapa dengan pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak tentang kaedah penggunaan teknologi digital yang selamat. Terdapat sepuluh (10) siri dilaksanakan di seluruh Selangor dan seramai 300 orang peserta daripada kalangan ibu bapa telah mendapat manfaat daripada program ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.