Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
278) MBI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peranan dan tanggungjawab MBI untuk memastikan Kerajaan Negeri mencapai sasaran pendapatan tahunan 2024 yang lebih daripada 2023?
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”) telah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Teras Strategik Pengukuhan Ekonomi di bawah Rancangan Selangor Pertama 2021 – 2025 (“RS-1”) yang melibatkan 108 projek, program dan inisiatif (“PPI”) merangkumi sembilan (9) sektor tumpuan, dan tiga (3) wilayah pembangunan. MBI dan syarikat milikan MBI juga bertanggungjawab ke atas sepuluh (10) projek pemacu perubahan (game changer) dalam RS-1. Perincian Sektor Tumpuan dan Wilayah Pembangunan yang melibatkan MBI di bawah RS-1 adalah seperti berikut:
Sektor Tumpuan
- Pelabuhan dan Logistik
- Pelancongan
- Aeroangkasa
- Ekonomi digital
- Elektrik & Elektronik dan Kejuruteraan & Mesin
- Sain Hayat
- Industri Halal
- Agroteknologi
- Automotif
Wliayah Pembangunan
- Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS);
- Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA); dan
- Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG)
Sebagai Ketua Teras Ekonomi, MBI berperanan untuk menyelaraskan pembangunan dan strategi pelaburan dalam sektor utama bagi menarik minat syarikat bertaraf antarabangsa untuk melabur di Selangor dan memacu projek-projek pemangkin yang dapat memanfaatkan negeri Selangor dalam usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan tahap ekonomi pasca-pandemik.
Di samping tanggungjawab ke atas penyelarasan dan pemantauan PPI di bawah Teras Ekonomi dalam RS-1, MBI juga bertanggungjawab untuk memastikan kelangsungan syarikat milikan MBI agar terus mencapai matlamat dan sasaran serta pulangan yang telah ditetapkan oleh MBI dan Kerajaan Negeri. Hasil dari pendapatan yang dijana, MBI dan anak milikannya akan terus menyumbang kepada pelaksanaan inisiatif kebajikan kepada rakyat Selangor seperti tahun-tahun terdahulu dalam mendukung Agenda Kerajaan Negeri Selangor, termasuk komitmen untuk membayar dividen yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
-
Apakah strategi MBI dalam menjayakan Selangor Negeri Pintar 2025?
Syarikat milikan MBI iaitu SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) akan memberi fokus kepada peranannya sebagai regulator untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif pintar oleh pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut mengikut panduan Smart Selangor berdasarkan kepada Pelan Tindakan Smart Selangor 2025.
Pihak SSDU sedang mengumpul dan menyemak maklumat terhadap inisiatif-inisiatif pintar yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri yang turut menyumbang kepada pencapaian matlamat Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.