Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

132) MASYARAKAT MENUA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu warga emas yang terbiar?

    Kerajaan Negeri Selangor mengiktiraf warga emas sebagai warganegara yang mempunyai hak untuk menikmati kehidupan yang sejahtera, dihormati dan boleh menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negeri. Menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, perkhidmatan yang disediakan kepada warga emas yang terbiar dan tiada waris adalah penjagaan dan perlindungan di institusi kebajikan kendalian JKM iaitu Rumah Seri Kenangan, Cheras, Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu dan Rumah Tunas Budi, Sungai Buloh.  Statistik penghuni warga emas yang ditempatkan di institusi JKM Selangor sehingga November 2022 adalah seramai 328 orang.

    JKM Negeri Selangor juga bertanggungjawab untuk memastikan pusat jagaan warga emas yang dikendalikan oleh pihak swasta dan pertubuhan sukarela kebajikan (NGO) di negeri Selangor memenuhi standard yang ditetapkan dengan mematuhi Akta dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1993. Sehingga November 2022 sebanyak  101 buah pusat jagaan Warga Emas di bawah kendalian Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan pihak swasta di Selangor telah didaftarkan.

    JKM juga menyediakan bantuan kewangan berbentuk geran tahunan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan jagaan kepada warga emas yang terbiar dan memerlukan. Sehingga November 2022, 3 NGO telah di beri geran berjumlah RM164,760.00.

    Bagi menggalakkan warga emas yang miskin dan berkeperluan terus tinggal dalam komuniti, JKM Negeri Selangor menyediakan Bantuan Warga Emas dengan kadar RM500.00 sebulan. Sehingga Oktober 2022 sebanyak RM 5,407,000.00 telah disalurkan kepada 10,825 orang warga emas di Selangor. Manakala di bawah Kerajaan negeri Skim Bantuan Am sebanyak RM138,500.00 diperuntukkan kepada 52 orang penerima manfaat ini.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menangani isu masyarakat yang semakin menua?

    Kerajaan telah menggubal Dasar Warga Emas Negara (DWEN) pada tahun 1995 dan mengambil kira isu penuaan berasaskan kepada lima dimensi untuk diterapkan kepada masyarakat. Lima (5) dimensi tersebut adalah penuaan sihat, penuaan aktif, penuaan positif, penuaan produktif dan penuaan sokongan.

    Untuk memastikan DWEN dapat dicapai, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri dan Daerah yang dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan, pertubuhan sukarela kebajikan, pihak akademik dan individu yang pakar dalam bidang penuaan. Kedua-dua jawatankuasa tersebut bertanggungjawab untuk merangka, merancang dan melaksanakan program-program yang berbentuk promosi, advokasi, pembelajaran sepanjang hayat, keselamatan, perlindungan, penyelidikan dan pembangunan kepada masyarakat warga emas.

    JKM Negeri Selangor turut mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat Kawasan parlimen untuk menyantuni warga emas. Sehingga November 2022, sebanyak 18 buah PAWE telah ditubuhkan dan memberi manfaat kepada seramai 4,784 orang warga emas di Selangor.

    Bagi menangani isu masyarakat menua, kerajaan negeri mendapati terdapat keperluan bagi mewujudkan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) kepada warga emas di negeri Selangor. Penganjuran UPWE bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan kepada warga emas yang tinggal berseorangan atau dengan keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan.

    Selain itu, kerajaan negeri mendapati terdapat keperluan menyediakan perkhidmatan Respite Care (RC) kepada warga emas di Selangor. Respite Care adalah perkhidmatan alternatif kepada waris atau penjaga untuk menempatkan secara sementara warga emas dalam jagaannya di institusi bagi suatu tempoh tertentu, disebabkan apa-apa sebab yang memerlukan warga emas ditempatkan sementara di institusi jagaan.

    Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) merupakan perkhidmatan sokongan sosial oleh sukarelawan ke rumah warga emas dan OKU yang terlantar. Perkhidmatan pemulihan, penjagaan dan pengintegrasian klien boleh dilakukan oleh sukarelawan agar warga emas dapat terus tinggal dalam komuniti tanpa perlu dimasukkan ke institusi atau pusat jagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.