Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

133) MASALAH SOSIAL LUMBA HARAM DIKALANGAN BELIA TEMPATAN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kebanyakan kawasan di dalam Negeri Selangor ini telah mempunyai jalan raya yang besar serta selesa bagi memudahkan pengguna yang menggunakan jalan raya berkenaan tetapi telah disalah gunakan oleh sebilangan anak muda tempatan bagi tujuan perlumbaan haram. Apakah inisiatif dari Kerajaan Negeri di dalam mengawal gejala lumba haram di kalangan belia tempatan?

    Dalam usaha mengawal gejala lumba haram di kalangan belia tempatan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di peringkat zon di setiap PBT yang berperanan  mengerakkan program-program belia dan mendampingi warga belia termasuk golongan pelumba haram.  Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM5,000 setahun kepada setiap PeBT untuk menjalankan program-program belia.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor telah menubuhkan satu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial (GeMS) Negeri Selangor yang berperanan untuk menangani gejala sosial secara menyeluruh dan berjangka panjang yang merangkumi semua masalah sosial termasuk lumba haram.

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama UNISEL mengambil langkah proaktif  dalam membendung gejala lumba haram dengan mengadakan pencarian bakat muda dalam sukan pemotoran untuk menyertai perlumbaan PETRONAS AAM Malaysia Cub Prix Champion 2011. Pada permulaannya seorang peserta telah dihantar untuk menyertai pertandingan tersebut dan telah berjaya mendapat tempat ke-15 daripada 45 peserta pada pusingan pertama. Hal ini, menunjukkan satu pencapaian yang baik kepada peserta yang mewakili pasukan yang diberi nama UNISEL- GeMS Racing Team. Selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga akan menjalankan program-program yang berkaitan minat belia di kawasan tumpuan penunggang motosikal berkumpul seperti di Dataran Shah Alam.

  2. Adakah Kerajaan Negeri akan mewujudkan dan melaksanakan sebarang bentuk program yang boleh menarik minat belia tempatan bagi menjauhi perlumbaan haram?

    Klik GeMS merupakan satu paltform yang baik kepada remaja dan belia khususnya di Negeri Selangor dalam mempraktikkan kemahiran dan intelektual mereka untuk merealisasikan impian mereka melalui kaedah dan panduan yang betul. Pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan di dalam Klik GeMS ini antaranya :

    • Gaya pementasan kreatif

    Bertujuan untuk menjana pemikiran kreatif di kalangan remaja dan belia.

    • Pemotoran

    Memberi pendedahan kepada remaja dan belia mengenai kaedah menunggang motosikal yang betul serta pengendalian motosikal.

    • Kursus Motivasi

    Memberi pendedahan kepada mereka khususnya belia mengenai pembentukan dan pemantapan akhlak mereka dalam melahirkan generasi yang berkualiti.

    • Eksplorasi Alam

    Memberi peluang kepada remaja dan belia untuk menghayati dan menghargai segala keindahan alam. Melalui aktiviti seumpama ini ia dapat memantapkan spiritual dan emosi mereka dalam menghadapi kehidupan seharian yang semakin mencabar.

    • Kursus Kemahiran

    Mewujudkan latihan kemahiran bersiri secara bulanan atau mingguan dengan fokus kepada minat  remaja dan belia masa kini seperti kursus pembangunan website, membaiki handphone, penciptaan video permainan yang bermoral dan beretika, masakan menu remaja, jahitan dan sebagainya bagi mengisi ruang kosong yang terluang serta dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk menghasilkan pendapatan.

    Selain itu, melalui Klik GeMS juga Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan akan menjalankan pelbagai aktiviti lagi bagi mengukuhkan ilmu dan akhlak Generasi Idaman Selangor (GeMS). Pihak Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) demi untuk kesejahteraan bersama.

  3. Apakah strategi yang akan digunakan Kerajaan Negeri bagi melahirkan belia tempatan yang berkualiti, kreatif dan inovatif selaras dengan aspirasi Negara?

    Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan belia tempatan yang berkualiti, kreatif dan inovatif telah merangka dan melaksanakan program – program bertujuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat cemerlang yang mampu menggembleng tenaga ke arah mengekalkan kemajuan negeri melalui pelaksanaan program – program seperti berikut :

    • Pelaksanaan Program Kursus SPIES Negeri Selangor yang mempunyai visi dan matlamat yang jelas untuk pembangunan manusia;
    • Program Klik Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang memberi fokus kepada kursus – kursus kemahiran antaranya pementasan kreatif, permotoran dan membaiki telefon bimbit;
    • Program Sembang Santai Bersama Belia;
    • Program Pembangunan Kepimpinan Belia;
    • Perhimpunan Anak Muda Selangor;
    • Seminar Kepimpinan Belia;
    • Dialog Munshi Abdullah;
    • Selangor Young Talent Award;
    • Program Ihya Ramadhan Bersama Belia;
    • Festival of Youth;
    • Kejohanan Futsal Gen S; dan 12) Sukan Interaktif Belia.

    Secara umumnya, pelaksanaan program ini dapat menarik minat belia yang mana ianya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan potensi kebaikan diri secara holistik ke arah menjadi aset bernilai yang menepati kehendak dan aspirasi kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.