Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

88) MASALAH SERANGAN PENYAKIT BENA PERANG (GRASSHOPPER)

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila kemukakan butiran terperinci mengenai jumlah keluasan bendang yang diserang penyakit Bena Perang di daerah Sabak Bernam.

    Jabatan Pertanian mempunyai satu Program Pengawasan dan Ramalan (PNR) setiap musim penanaman. Tujuan program ini ialah untuk mengawasi status perosak (20 jenis) supaya maklumat dapat disampaikan kepada pegawai kawasan dan petani untuk kawalan apabila statusnya mencapai diambang potensi kepada kerosakan (ETL). Hasil program PNR didapati peratusan serangan bagi serangan Bena Perang ialah sebanyak 2% iaitu meliputi kawasan tanaman padi IADA Barat Laut Selangor seluas 18,355 ha bertanam.

  2. Setakat ini, apakah jenis racun serangga yang paling mujarab mencegah serangan penyakit tersebut dan disyorkan oleh Jabatan Pertanian?

    Pakej Teknologi Tanaman Padi oleh Jabatan Pertanian mengesyorkan beberapa jenis racun untuk mengawal bena perang berdasarkan kesesuaian mengikut ’mode of action’ racun tersebut. Walau bagaimanapun keberkesanannya bergantung kepada berapa faktor yang perlu difahami oleh pesawah seperti umur tanaman, peringkat kehidupan serangga, populasi musuh semula jadi dan cuaca. Antara contoh racun serangga yang disyorkan;

    Bahan Aktif (a.i) Mode of action Umur padi (hari)
    imidacloprid Sistemik, Sentuh dan Perut

    -Menghalang penyalinan kulit dan bunuh instar dan halang perkembangan.

    60
    Fenobucarb Sentuh

    -Penghalang ’cholinesterase’

    90
    Buprofezin + isoprocarb Sentuh dan perut

    -Halang tumbesaran dan

    ’biosintisis chitin’ serangga

    90

     

  3. Sila nyatakan dengan jelas selain menggunakan racun serangga, adakah terdapat kaedah alternatif untuk mengatasi masalah tersebut?

    Selain penggunaan racun serangga terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh diamalkan mengikut Amalan Pertanian Baik (APB) iaitu;

    1. Sawah sentiasa bebas dari pertumbuhan rumpai yang boleh menjadi perumah bagi bena perang.
    2. Pembakaran jerami secara terkawal dengan kebenaran Jabatan Alam Sekitar juga dapat mengurangkan populasi sedia ada bena perang di kawasan tanaman padi.
    3. Penggunaan varieti padi yang rintang terhadap serangan bena perang, seperti MR 219 dan MR 220 lebih rintang berbanding MR232.
    4. Teknik menaikkan paras air pada peringkat serangan awal juga boleh menghalang pembiakan bena perang. Petani juga harus memastikan bahawa sawah padi mereka ditenggelami air pada paras 5 cm hingga 10 cm sahaja.
    5. Musuh semulajadi (MSJ) di kawasan tanaman padi juga memainkan peranan penting bagi kawalan bena perang. Di antara MSJ bagi bena perang adalah seperti labah-labah (Lycosa sp.), kutu tumbuhan (Cyrtorhinus sp.), Anagrus sp., Oligosita sp. dan kumbang-kumbang pemangsa seperti kumbang tanah (Paederus sp.) dan kumbang kura-kura (Coccinella). Penggunaan racun jenis ’broad sprectrum’ hendaklah dielakkan kerana ia juga membunuh MSJ.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.