Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

13) MASALAH PUSAT HIBURAN DAN BAJET HOTEL

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Wong Koon Mun

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah lesen Pusat Hiburan dan Bajet Hotel yang telah diluluskan oleh Kerajaan Selangor?

    Jumlah lesen Pusat Hiburan dan Bajet Hotel yang telah diluluskan adalah seperti di dalam jadual di bawah :

    BIL PIHAK

    BERKUASA

    TEMPATAN

    BILANGAN LESEN PUSAT HIBURAN BILANGAN LESEN HOTEL BAJET
    1. MBSA 56 12
    2. MBPJ 183 32
    3. MPK 85 17
    4. MPAJ 97 14
    5. MPSJ 153 10
    6. MPS 75 21
    7. MPKj 34 20
    8. MPSp 15 6
    9. MDKS 11 19
    10. MDHS 10 3
    11. MDKL 45 9
    12. MDSB 20 18
  2. Adakah masalah Pusat Hiburan dan Bajet Hotel tanpa lesen serious di Selangor?

    Setakat ini, masalah Pusat Hiburan dan Hotel Bajet di Negeri Selangor masih dalam keadaan terkawal. Zon Hiburan telah diwujudkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan sebagai usaha untuk mengawal dan memantau aktiviti ini serta memudahkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh PBT. Disamping itu juga, lesen bagi pusat hiburan masih lagi dibekukan dan hanya dibenarkan bagi pusat hiburan keluarga di pusat membeli belah serta hotel-hotel. Walau bagaimanapun, ulasan pihak Polis diperoleh terlebih dahulu sebelum kelulusan lesen diberikan.

    Di samping itu juga, tindakan penguatkuasaan yang kerap dilaksanakan oleh PBT sedikit sebanyak dapat mengawal bilangan Pusat Hiburan serta Hotel Bajet yang tidak berlesen di dalam kawasan PBT.

  3. Apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk membuka pusat hiburan dan bajet hotel?

    Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi membuka Pusat Hiburan adalah:

    Waktu Hiburan

    • Waktu perniagaan/hiburan yang dibenarkan tidak boleh melebihi pukul 1.00 pagi KECUALI dengan kebenaran bertulis dari Pihak Berkuasa Tempatan.

    Lokasi

    • Lokasi premis tidak kurang dari 300 meter dari kawasan rumah ibadat, sekolah dan hospital dan tidak kurang 100 meter dari Pejabat Kerajaan. Tidak dibenarkan di kawasan yang 70% penduduk beragama islam.

    Larangan

    1. Pemilik/pengusaha tidak boleh membenarkan orang yang mabuk untuk masuk dan berada di kawasan premis yang telah diluluskan lesen hiburan.
    2. Kanak- kanak dan pelanggan di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan memasuki mana-mana pusat hiburan KECUALI disertai bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.
    3. Pemilik/pengusaha tidak dibenarkan membiarkan premis hiburan atau pelanggan di premis hiburan untuk menyebabkan kacau ganggu kepada ketenteraman awam.
    4. Tidak dibenarkan sebarang hiburan berunsur lucah atau ganas di premis hiburan.
    5. Tidak dibenarkan untuk diadakan sebarang pertaruhan, loteri atau perjudian sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 atau Ordinan Pertaruhan 1953 dijalankan dalam suatu tempat hiburan, kecuali yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
    6. Pemilik/pengusaha premis hiburan tidak dibenarkan menghidangkan minuman yang memabukkan atau diminum di dalam premis hiburan, KECUALI suatu lesen minuman keras telah dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan di bawah Akta Eksais 1976.
    7. Tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) daripada kalangan wanita atau pondan.
    8. Seseorang pemegang lesen hendaklah memastikan bunyi bising daripada premis berada diperingkat yang minima dan tidak menimbulkan kacau ganggu;

    Syarat-syarat am bagi Hotel Bajet adalah:

    Kelulusan Kebenaran merancang

    Mengemukakan permohonan kebenaran merancang perubahan meterial penggunaan bangunan daripada kedai pejabat kepada hotel bajet.

    Lot Parkir Kereta

    Menyewa 5 petak tempat letak kereta daripada Majlis bagi tujuan kemudahan pengunjung.

    Sokongan Bomba

    Mengemukakan surat kelulusan / sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.

    Pengudaraan

    Mempunyai 10% pembukaan pengudaraan semulajadi berdasarkan luas lantai atau menyediakan pengudaraan mekanikal.

    Tong Sampah

    Menyediakan tong sampah dan pembuangan sampah mengikut peraturan Pihak Berkuasa Tempatan

    Papantanda

    Menyediakan papan tanda alamat dalam tulisan rumi dan jawi mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis

    Kacau Ganggu

    Memastikan aktiviti yang akan dijalankan kelak tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar. Pemohon juga perlu menjaga kebersihan tapak dan memastikan aktiviti yang dijalankan kelak bebas dari kegiatan yang menyalahi undang-undang.

    Pelan Tambahan Pindaan

    Pengusaha dikehendaki segera mengemukakan pelan tambahan dan pindaan bangunan kepada Majlis untuk kelulusan dengan mematuhi syarat-syarat berikut:-

    • Tangga Kecemasan

    Struktur tangga kecemasan (sebagaimana syarat Bomba) hendaklah terletak di dalam sempadan lot premis (tidak dibenarkan didirikan di atas rezab lorong belakang)

    • Surau

    Menyediakan kemudahan surau untuk kegunaan lelaki dan wanita secara berasingan dengan ukuran 10’ x 10’ dan tambahan 4’ x 2’ untuk ruang wudhuk.

    Buku Rekod

    Menyediakan buku rekod penggunaan hotel yang mengandungi maklumat :

    • Nama Pelanggan ii. No. Kad Pengenalan iii. Alamat Pelanggan iv. No. Telefon

    Iklan Di Premis

    Tidak dibenarkan memaparkan iklan promosi yang mengelirukan dan yang boleh menimbulkan tanggapan negatif (cth: seperti promosi dengan kadar harga RM

    9.99 sejam)

    Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan

    Aktiviti yang menyalahi syarat kelulusan lesen seperti urut dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    Penyediaan Kaunter Perkhidmatan

    Menyediakan kaunter untuk perkhidmatan kepada pelanggan.

Lampiran

Tiada Lampiran.