Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
142) MASALAH PROJEK RUMAH TERBENGKALAI LADANG DUSUN DURIAN
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apa tindakan terkini Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor mengatasi masalah rumah terbengkalai di Ladang Dusun Durian di Kg Tali Air Morib?
Untuk makluman Yang Berhormat, beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersama-sama pihak yang terlibat seperti Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat, wakil pemaju dan pemilik-pemilik bagi membincangkan pelan pemulihan dan penyelesaian projek ini. Pihak kontraktor yang bertindak sebagai pemaju iaitu Era Permai Sdn Bhd memaklumkan melalui surat bertarih 5 Disember 2022 bahawa pihaknya masih di dalam perundingan dengan ke semua 109 pemilik tanah projek Ladang Dusun berhubung cadangan untuk meneruskan pembelian rumah dengan harga baru atau pemulangan semua bayaran (total refund) kepada pemilik. Sekiranya tidak ada kata putus daripada pemilik pihak pemaju akan menguatkuasakan Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) yang telah ditandatangani bertarikh 12 April 2006.
Sehingga kini berdasarkan perjumpaan pemaju bersama pemilik pada 18 Disember 2022 memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima maklumbalas daripada 109 pemilik projek ini. Oleh demikian sebarang keputusan berhubung halatuju pemulihan projek hanya akan dimuktamadkan setelah mendapat maklumbalas dan persetujuan daripada pemilik-pemilik terlibat.