Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

21) MASALAH PERUMAHAN BEKAS PEKERJA LADANG

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri menangani masalah perumahan bekas pekerja di ladang-ladang?

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dengan masalah-masalah perumahan bekas pekerja ladang dalam memiliki rumah sendiri. Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Pekerja-Pekerja Ladang dan Lombong telah membincangkan segala isu dan permasalahan pekerja-pekerja ladang bagi memastikan mereka mendapat keselesaan penempatan baru. Dasar Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa pekerja-pekerja ladang dan lombong yang dipindahkan ke penempatan baru, pihak pemilik ladang perlulah membangunkan atau menawarkan rumah kos rendah (RKR) dengan harga RM35,000.00 seunit yang mana perbezaan harga sebanyak RM7,000.00 akan ditanggung oleh pemilik ladang.

    Permasalahan perumahan ladang ini bermula dengan permohonan pembangunan ladang oleh pihak majikan atau pemaju tanah ladang tersebut. Perkara ini dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Tanah dan diputuskan kelulusan setelah semua syarat dipersetujui terutama bagi memastikan pekerjapekerja ladang yang masih tinggal di ladang tersebut diberi jaminan tentang pampasan serta perumahan. Kemudian ianya akan melalui beberapa peringkat kelulusan oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

    Bagi menangani permasalahan perumahan ladang ini, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Pekerja-Pekerja Ladang dan Lombong, Kerajaan Negeri turut mengarahkan kepada pemilik ladang supaya menyediakan perumahan kepada bekas pekerja-pekerja ladang mereka sama ada membina rumah kos rendah atau mencari mana-mana kawasan untuk menempatkan mereka semula. Sehingga kini kebanyakan pemilik ladang amat memberi kerjasama untuk memastikan bekas pekerja mereka mempunyai rumah sendiri dengan membina rumah kos rendah seperti yang dilaksanakan oleh Kumpulan Guthrie Berhad yang memindahkan mereka ke rumah kos rendah yang dibina oleh anak-anak syarikat mereka.

    Bagi menjawab pertanyaan Kuala Kubu Baharu, permasalahan perumahan ladang tidak akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat kerana ianya melalui beberapa proses kelulusan. Sekiranya persefahaman dan persetujuan bersama diwujudkan di antara pekerja-pekerja ladang dengan pihak majikan, tentu sekali permasalahan mengenai perumahan pekerja ladang ini dapat diselesaikan dengan jayanya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.