Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

17) MASALAH PERTINDIHAN HAK MILIK TANAH INDIVIDU

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Masalah pertindihan hak milik individu di Rancangan Tanah Kampung Sungai Yu, Kampung Lubuk Jaya Bukit Belimbing dan kawasan Hopeful Berjuntai Bestari di dalam DUN Permatang, telah berlarutan sejak sekian lama dan masih belum diatasi. Bilakah masalah pertindihan hak milik ini dapat diatasi?

    Tiada pertindihan hak milik berlaku di ketiga-tiga kawasan yang dimaksudkan. Apa
    yang berlaku sebenarnya adalah pertindihan di mana peneroka yang mengusahakan
    tanah tidak diberi kelulusan tetapi tanah tersebut diberimilik kepada selain daripada
    peneroka. Pemilik tanah tidak dapat memasuki tanahnya kerana dihalang oleh
    peneroka.

    Beberapa kaedah penyelesaian masalah tanah bertindih di antara pemegang hak milik
    dengan peneroka telah dikenalpasti. Di antaranya ialah:-
    i. Menggunakan kaedah kompromi di antara peneroka dan tuan tanah untuk:-
    – Pemilik tanah menyerahkan sebahagian tanahnya kepada peneroka.
    – Bayaran saguhati kepada peneroka untuk keluar dari tanah milik tersebut.
    ii. Dicadangkan juga keseluruhan tanah di kawasan Hopeful diambil balik oleh kerajaan
    untuk dimajukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri sebagai kawasan
    pembangunan atau pertanian secara komersial.

  2. Adakah pemberian hak milik akan dibuat kepada pemohon-pemohon?

    Pemberian hak milik bagi Kawasan Rancangan Ladang Hopeful yang bertindih
    penyelesaian hak milik akan dikeluarkan setelah MMKN membuat keputusan seperti
    yang dinyatakan pada para (ii).

  3. Apakah tindakan Pihak Berkuasa Negeri terhadap peneroka-peneroka yang mendiami tanah-tanah yang diteroka berkenaan?

    Di dalam Seksyen 425 KTN, sesiapa tanpa kuasa yang sah di sisi undang-undang:-
    i. Menduduki atau mendirikan mana-mana bangunan di mana-mana tanah negeri, tanah
    simpanan dan tanah lombong; atau
    ii. Membersihkan, membajak, menggali, membuka atau bercucuk tanam di mana-mana
    tanah tersebut atau bahagian darinya; atau
    iii. Memotong atau memindahkan mana-mana kayu balak atau mengusakannya di atas
    tanah tersebut adalah melakukan kesalahan yang boleh disabitkan kepada denda tidak
    melebihi sepuluh ribu ringgit atau dihukum penjara bagi suatu jangka masa tidak
    melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
    Berdasarkan perkara ini satu kajian secara terperinci perlu dilaksanakan sebelum tindakan
    diambil terhadap peneroka-peneroka yang mendiami di atas tanah-tanah yang diteroka. Ini
    juga bergantung kepada keputusan Pihak Berkuasa Negeri.
    Walaubagaimanapun pihak kerajaan tiada kuasa mengambil tindakan ke atas peneroka di atas
    tanah milik tetapi sebaliknya adalah menjadi hak dan tanggungjawab pemilik tanah untuk
    menyelesaikan isu pertindihan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.