Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
331) MASALAH PENYELENGGARAAN TASIK COVA DI PJU 3
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status Tasik Cova di PJU 3?
Berdasarkan semakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mendapati, status pemilikan Tasik Cova masih berada di bawah seliaan pemaju, Tetuan Pharma Excel Sdn. Bhd. dan tiada sebarang rekod serahan dibuat ke atas tasik tersebut berikutan masalah pemaju yang telah muflis.
-
Apakah tindakah kerajaan untuk menangani masalah di Tasik Cova?
Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Selangor telah menjalankan kajian ke atas Tasik Cova dan sistem saliran dalam kawasan tadahannya bagi mengkaji kecukupmuatan kapasiti kolam dan sistem saliran sedia ada. Menerusi kajian tersebut juga, cadangan reka bentuk pengurusan air larian yang sesuai di kawasan tadahan Tasik Cova turut dapat dihasilkan.
Dalam usaha menyelesaikan masalah di Tasik Cova, permohonan ulasan bertulis telah dimajukan pada bulan Januari 2024 kepada Pegawai Kewangan Negeri (PWN), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan MBPJ bagi melengkapi Kertas Ringkasan MMKN berhubung permohonan peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan Tasik Cova termasuk skop pewartaan. Namun sehingga kini, ulasan bertulis dari agensi-agensi yang terlibat masih belum diperolehi.
Sehubungan itu, JPS Negeri Selangor mendapati tiada keperluan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan rumput di bahagian upstream Tasik Cova pada tahun ini memandangkan kerja-kerja pembersihan tersebut telah dijalankan secara berkala dengan kekerapan satu (1) kali sebulan pada tahun 2023. Pada tahun 2023, sebanyak sembilan (9) pusingan kerja pembersihan telah dilaksanakan menerusi Peruntukan Mengurus (B13) dari Kerajaan Negeri.
Bagi tahun 2024 pula, JPS Negeri Selangor akan meneruskan kerja pembersihan secara berkala dengan kekerapan satu (1) kali sebulan dengan jangkaan sebanyak 12 pusingan. Peruntukan yang digunakan bagi pembiayaan kerja-kerja pembersihan turut menerusi Peruntukan Mengurus (B13) dari Kerajaan Negeri.
-
Berapakah peruntukan kerajaan bagi menyelesaikan masalah Tasik Cova?
Menerusi Kertas Ringkasan MMKN, JPS Negeri Selangor memohon pertimbangan bagi meluluskan peruntukan sebanyak RM21,470,103.00 menggunakan sumber peruntukan Pembangunan Negeri untuk pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf kolam takungan serta saliran di tadahan Tasik Cova termasuk kerja-kerja ukur, pengukuhan tebing tasik, penggalian kelodak, pemindahan tanah korekan (spoil dump), pembaikan struktur tasik serta pewartaan. Kos terlibat juga merangkumi pembiayaan bagi deposit keselamatan (Security Deposit) kepada pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. sebagaimana syarat-syarat yang telah ditetapkan menerusi surat maklum balas daripada Kwasa Land Sdn. Bhd. bertarikh 10 Ogos 2023 yang lalu.
Maklumat Tambahan:
Lanjutan daripada Keputusan Kertas EXCO-MTES MMKN ke-1/2020 bertarikh 8 Januari 2020 berhubung isu pembaikan dan penyelenggaraan Tasik Cova menimbang dan bersetuju, agar kajian bagi mengkaji kapasiti Tasik Cova dibuat setelah kerja-kerja pengorekan pasir dijalankan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) serta mengemukakan cadangan penyelesaian kepada Kerajaan Negeri.Antara pertimbangan lain yang dipersetujui termasuk supaya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menanggung kos menyelenggara kawasan landskap dan komponen mekanikal dan elektrikal, mengemukakan permohonan pewartaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling dan bersetuju agar pemaju-pemaju menyerahkan kolam-kolam takungan banjir dalam kawasan pembangunan syarikat kepada JPS Negeri Selangor untuk diselenggara.
Lanjutan daripada keputusan MMKN yang telah dikeluarkan, JPS telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak KSSB dan kebenaran bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan Tasik Cova telah diberikan kepada KSSB bermula dari 13 Januari 2020 sehingga 31 Oktober 2020. Namun begitu, pada 30 September 2020, pihak KSSB telah menarik diri dari menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut akibat daripada kekangan ke atas risiko bebanan kewangan yang tinggi. Susulan daripada itu, kajian simulasi hidraulik dan hidrologi tasik telah dijalankan oleh JPS Negeri Selangor bagi memenuhi Keputusan Kertas EXCO-MTES tersebut.
Tasik Cova terletak di atas tanah Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke-1/2020 pada 8 Januari 2020 telah menimbang dan bersetuju:-
Meluluskan untuk Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir di Tasik Cova, Jalan Teknologi, Kota Damansara;
Setelah kerja-kerja pengorekan pasir dilaksanakan, JPS diminta menjalankan kajian bagi mengkaji kapasiti Tasik Cova sebagai kolam takungan banjir daripada keseluruhan keluasan tasik tersebut untuk tempoh masa yang diperlukan dan mengemukakan semula cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum meneruskan kerja-kerja membaiki dan menyelenggara infrastruktur tasik;
Supaya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menanggung kos menyelenggara kawasan landskap dan komponen mekanikal dan elektrikal;
Supaya JPS Negeri Selangor mengemukakan permohonan ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling untuk mewartakan Tasik Cova sebagai kolam takungan banjir; danBersetuju agar pemaju-pemaju menyerahkan kolam-kolam takungan banjir dalam kawasan pembangunan syarikat kepada JPS untuk diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
Lanjutan daripada keputusan MMKN yang telah dikeluarkan, JPS telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak KSSB dan kebenaran bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan Tasik Cova telah diberikan kepada KSSB bermula dari 13 Januari 2020 sehingga 31 Oktober 2020. Namun begitu, pada 30 September 2020, pihak KSSB telah menarik diri dari menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut akibat daripada kekangan ke atas risiko bebanan kewangan yang tinggi untuk menjalankan operasi yang mana melibatkan:-
Jumlah rezab pasir adalah tidak diketahui susulan daripada tinjauan pengorekan sampel di Tasik Cova mendapati tiada bahan batuan pasir yang ditemui pada kedalaman 1.5 meter melainkan kelodak dan lumpur sahaja;
Tuntutan daripada persatuan penduduk Tasik Cova yang menuntut pembukaan taman rekreasi di kawasan tersebut selaras dengan keperluan dari pihak MBPJ;Kekangan ke atas pemilihan laluan masuk ke kawasan kerja yang mengalami hakisan tebing dan berkemungkinan akan menyebabkan keretakan pada bangunan dan lain-lain kerosakan; dan
Susulan daripada itu, JPS telah melantik perunding bagi melaksanakan Kajian Kolam Takungan dan Saliran di Tadahan Tasik Cova dan kajian tersebut telahpun disiapkan pada awal bulan Ogos 2021. Skop kajian merangkumi perkara berikut:-
Mengkaji kapasiti kolam sedia ada dan sistem saliran di kawasan sekitar sebagai salah satu komponen mitigasi banjir;
Mencadangkan reka bentuk sistem saliran dan pengurusan air larian yang sesuai bagi keseluruhan kawasan tadahan Tasik Cova serta jadual keperluan penyelenggaraan; dan
Mengkaji tahap kualiti air di kawasan tadahan Tasik Cova.
Pihak perunding telah mencadangkan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf kolam takungan dan saliran dengan anggaran kos sebanyak RM20 juta melibatkan pengorekan dan pengeluaran kelodak dan lumpur sebanyak 135,000 meter padu dan memerlukan pengangkutan keluar bahan korekan sebanyak 10,700 lori. Aktiviti pengangkutan keluar bahan korekan dijangka akan mengganggu lalulintas dan kebersihan jalan raya di kawasan tersebut yang berkepadatan penduduk dan lalulintas trafik yang tinggi.Susulan daripada itu, JPS telah mengarahkan pihak perunding untuk mengkaji opsyen lain bagi menyelesaikan isu tersebut. Dua (2) opsyen yang dicadangkan adalah seperti berikut:-
Opsyen 1: Mengorek dan menambak tanah di kawasan Kwasa Land Sdn. Bhd. (iaitu lot tanah yang berada di bersebelahan Tasik Cova); atau
Opsyen 2: Mengorek dan menambak sebahagian tanah ke tebing Tasik Cova manakala lebihan tanah di bawa keluar melalui kawasan Kwasa Land Sdn. Bhd. dan rizab Sungai Rumput.Pada 25 Julai 2023, satu (1) perbincangan bersama pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. telah diadakan untuk membincangkan isu laluan penyelenggaraan di tanah milik Kwasa Land Sdn. Bhd. Pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. menyokong baik inisiatif JPS Negeri Selangor dalam menangani isu penyelenggaraan Tasik Cova. Melalui mesyuarat tersebut, pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. secara dasarnya bersetuju dan tiada halangan untuk pihak JPS Negeri Selangor menggunakan laluan bersebelahan rizab Sungai Rumput iaitu di tanah milik Kwasa Land Sdn. Bhd. sebagai jalan untuk membawa keluar hasil korekan kolam Tasik Cova tersebut.
Seterusnya, JPS akan membuat pembentangan cadangan Kerja-Kerja Pemeliharaan dan Pemuliharaan Kawasan Tadahan Tasik Cova seluas 75,127 meter persegi dalam MMKN bagi mendapatkan kelulusan pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Negeri.
Tiada kelulusan permit keluar masuk ke kawasan Tasik Cova diperolehi.