Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
202) MASALAH PENYELENGGARAAN TASIK COVA DI PJU 3
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah bagi Tasik Cova?
Dalam usaha menyelesaikan masalah di Tasik Cova, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah menjalankan kajian ke atas Tasik Cova dan sistem saliran dalam kawasan tadahannya bagi melihat kecukupmuatan kapasiti kolam dan sistem saliran sedia ada serta penghasilan cadangan reka bentuk pengurusan air larian yang sesuai dan bagi mengenalpasti tahap kualiti air di kawasan tadahan Tasik Cova terlibat.
Susulan daripada kajian tersebut, JPS Negeri Selangor telah mengambil langkah-langkah jangka pendek dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyenggaraan termasuk pemotongan rumput di bahagian upstream Tasik Cova iaitu di Sungai Rumput secara berkala dengan kekerapan satu (1) kali sebulan pada tahun 2023. Sehingga kini, jumlah kerja-kerja pembersihan yang telah direkodkan adalah sebanyak sembilan (9) pusingan. Peruntukan yang digunakan bagi pembiayaian kerja-kerja pembersihan tersebut menerusi Peruntukan Mengurus (B13) dari Kerajaan Negeri.
Walau bagaimanapun, bagi langkah-langkah mitigasi yang lebih efisien, JPS Negeri Selangor dalam proses penambahbaikan dan memperhalusi Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi permohonan peruntukan penaiktarafan Tasik Cova dan sistem saliran di sekitarnya.
Maklumat Tambahan
Tasik Cova terletak di atas tanah Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 1/2020 pada 8 Januari 2020 telah menimbang dan bersetuju:-
- Meluluskan untuk Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir di Tasik Cova, Jalan Teknologi, Kota Damansara;
- Setelah kerja-kerja pengorekan pasir dilaksanakan, JPS diminta menjalankan kajian bagi mengkaji kapasiti Tasik Cova sebagai kolam takungan banjir daripada keseluruhan keluasan tasik tersebut untuk tempoh masa yang diperlukan dan mengemukakan semula cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum meneruskan kerja-kerja membaiki dan menyenggara infrastruktur tasik;
- Supaya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menanggung kos menyenggara kawasan landskap dan komponen mekanikal dan elektrikal;
- Supaya JPS Negeri Selangor mengemukakan permohonan ke PDT Petaling untuk mewartakan Tasik Cova sebagai kolam takungan banjir; dan
- Bersetuju agar pemaju-pemaju menyerahkan kolam-kolam takungan banjir dalam kawasan pembangunan syarikat kepada JPS untuk diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
Lanjutan daripada keputusan MMKN yang telah dikeluarkan, JPS telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak KSSB dan kebenaran bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan Tasik Cova telah diberikan kepada KSSB bermula dari 13 Januari 2020 sehingga 31 Oktober 2020. Namun begitu, pada 30 September 2020, pihak KSSB telah menarik diri dari menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut akibat daripada kekangan ke atas risiko bebanan kewangan yang tinggi untuk menjalankan operasi yang mana melibatkan:-
- Jumlah rezab pasir adalah tidak diketahui susulan daripada tinjauan pengorekan sampel di Tasik Cova mendapati tiada bahan batuan pasir yang ditemui pada kedalaman 1.5 meter melainkan kelodak dan lumpur sahaja;
- Tuntutan daripada persatuan penduduk Tasik Cova yang menuntut pembukaan taman rekreasi di kawasan tersebut selaras dengan keperluan dari pihak MBPJ;
- Kekangan ke atas pemilihan laluan masuk ke kawasan kerja yang mengalami hakisan tebing dan berkemungkinan akan menyebabkan keretakan pada bangunan dan lain-lain kerosakan; dan
- Tiada kelulusan permit keluar masuk ke kawasan Tasik Cova diperolehi.
- Susulan daripada itu, JPS telah melantik perunding bagi melaksanakan Kajian Kolam Takungan dan Saliran di Tadahan Tasik Cova dan kajian tersebut telahpun disiapkan pada awal bulan Ogos 2021. Skop kajian merangkumi perkara berikut:-
- Mengkaji kapasiti kolam sedia ada dan sistem saliran di kawasan sekitar sebagai salah satu komponen mitigasi banjir;
- Mencadangkan reka bentuk sistem saliran dan pengurusan air larian yang sesuai bagi keseluruhan kawasan tadahan Tasik Cova serta jadual keperluan penyelenggaraan; dan
- Mengkaji tahap kualiti air di kawasan tadahan Tasik Cova.
Pihak perunding telah mencadangkan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf kolam takungan dan saliran dengan anggaran kos sebanyak RM20 juta melibatkan pengorekan dan pengeluaran kelodak dan lumpur sebanyak 135,000 meter padu dan memerlukan pengangkutan keluar bahan korekan sebanyak 10,700 lori. Aktiviti pengangkutan keluar bahan korekan dijangka akan mengganggu lalulintas dan kebersihan jalan raya di kawasan tersebut yang berkepadatan penduduk dan lalulintas trafik yang tinggi.
Susulan daripada itu, JPS telah mengarahkan pihak perunding untuk mengkaji opsyen lain bagi menyelesaikan isu tersebut. Dua (2) opsyen yang dicadangkan adalah seperti berikut:-
Opsyen 1: Mengorek dan menambak tanah di kawasan Kwasa Land Sdn. Bhd. (iaitu lot tanah yang berada di bersebelahan Tasik Cova); atau
Opsyen 2: Mengorek dan menambak sebahagian tanah ke tebing Tasik Cova manakala lebihan tanah di bawa keluar melalui kawasan Kwasa Land Sdn. Bhd. dan rizab Sungai Rumput.
Pada 25 Julai 2023, satu (1) perbincangan bersama pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. telah diadakan untuk membincangkan isu laluan penyelenggaraan di tanah milik Kwasa Land Sdn. Bhd. Pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. menyokong baik inisiatif JPS Negeri Selangor dalam menangani isu penyelenggaraan Tasik Cova. Melalui mesyuarat tersebut, pihak Kwasa Land Sdn. Bhd. secara dasarnya bersetuju dan tidak mempunyai halangan untuk pihak JPS Negeri Selangor menggunakan laluan bersebelahan rizab Sungai Rumput iaitu di tanah milik Kwasa Land Sdn. Bhd. sebagai jalan untuk membawa keluar hasil korekan kolam Tasik Cova tersebut.
Seterusnya, JPS akan membuat pembentangan cadangan Kerja-Kerja Pemeliharaan dan Pemuliharaan Kawasan Tadahan Tasik Cova seluas 75,127 meter persegi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapatkan kelulusan pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Negeri.