Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

61) MASALAH PENGURUSAN PANGSAPURI KOS RENDAH

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pelan perancangan Kerajaan Negeri terhadap pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang berhutang banyak dan tidak mampu lagi menanggung kos pembayaran perkara-perkara penting seperti penyelenggaraan lif, bil air dan sebagainya?

    Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka. Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan berhubung penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi setiap pangsapuri kos rendah yang tidak mampu menguruskan bangunan akibat defisit kutipan caj pengurusan. Dalam hal ini, badan pengurusan Bersama (JMB) perlu memperkasakan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757).

    Pelan tindakan jangka panjang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti menyediakan program-program di bawah pemantauan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk membantu menyelesaikan masalah secara tuntas setiap pangsapuri kos rendah di Negeri Selangor. Setiap program yang dirancang memberi penekanan kepada 3 aspek pengurusan seperti berikut:

    i) Pengurusan Fizikal.

    Penekanan kepada aspek peningkatan kualiti, keindahan dan keceriaan bangunan melalui program baikpulih di bawah skim CERIA (Caring Government for Improvement Aids’) dan Laman Hijau

    ii) Pengurusan Komuniti.

    Aspek pemerkasaan komuniti agar mempunyai sikap bekerjasama, inovatif dan berpengetahuan dalam menguruskan pangsapuri. Antara program-program yang telah dilaksanakan ialah Program Squad Pemberdayaan Komuniti atau K-SQUAD, Homework Club dan K-Inovasi.

    iii) Pengurusan Kepimpinan.

    Penekanan kepada pemantapan kecekapan dalam mengurus badan pengurusan seperti menyediakan latihan pengurusan kewangan strata dan C-SMART (Courses Strata Management And Residential Tentative).

  2. Sila senaraikan jabatan-jabatan dan maklumat perhubungan mereka untuk permohonan program Smart Life, SEROJA dan ISS (Indah Smart Selangor).

    Program Smartlife dan Indah Smart Selangor (ISS) adalah pecahan khas dari Skim CERIA (Caring Government Residence Aids’). Walau bagaimanapun, program tersebut telah disatukan di dalam Skim CERIA dengan peruntukan tahunan kerajaan negeri secara geran kepada agensi pelaksana iaitu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Manakala Skim SEROJA (Skim Keselamatan dan Kejiranan Pangsapuri) masih dilaksanakan dengan memperluaskan bantuan lain dengan memasukkan elemen-elemen kawalan dan keselamatan sesebuah pangsapuri. Skim-skim ini dikawal selia oleh Unit Pengurusan Bangunan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

  3. Selain daripada skim bantuan diatas, adakah terdapat program-program bantuan lain di bawah peringkat Kerajaan Tempatan bagi membantu pangsapuri kos rendah?

    Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai peruntukan-peruntukan agak terhad bagi menyediakan bantuan-bantuan lain kepada komuniti pangsapuri kos rendah. Kebanyakan program-program bantuan menerima peruntukan khusus sama ada melalui Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan seperti program pembaikan pangsapuri di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.