Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
57) MASALAH PENGURUSAN JMB DALAM ISU AIR (METER PUKAL)
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kini, masih terdapat pihak JMB yang tidak mampu menyelesaikan beberapa isu yang wujud, terutamanya di Rumah Pangsa. Salah satu isu adalah bila meter air masih merupakan meter pukal kerana pihak JMB tidak dapat mengumpul dana bagi proses penukaran ke meter individu. Pada masa sama, pihak JMB juga tidak mempunyai kuasa untuk memotong sumber air penduduk sekiranya penduduk tidak mahu membayar bil air. Kesannya, JMB semakin banyak berhutang dengan Air Selangor dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat membantu kes seperti ini?
Kerajaan Negeri dapat membantu untuk menyelesai hutang meter pukal dengan kaedah pembayaran secara berjadual sekiranya JMB/MC bekerjasama dengan Air Selangor melalui program migrasi Akaun Bekalan Air Meter Pukal kepada Akaun Bekalan Air Meter Individu.
Mengikut Akta Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air Dan Pemasangan Paip) 2014, kos pengubahsuaian lengkapan air (tetiang meter) ini perlu ditanggung oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB)/ Perbadanan Pengurusan (MC).
Sekiranya JMB/ MC tidak mempunyai dana yang mencukupi, maka mereka perlu memberitahu para pemilik unit tentang kedudukan kewangan pengurusan bangunan melalui satu Mesyuarat Luar Biasa (EGM) supaya hutang dan kos penambahbaikan tetiang meter itu dapat ditanggung oleh para pemilik unit.
-
Adakah kita boleh memperkasakan JMB dengan menyerahkan punca kuasa bagi memotong sumber air kepada pihak JMB? Sekiranya ya, bagaimana?
Kuasa pemotongan bekalan air oleh JMB/MC terletak di bawah Penguatkuasaan dan Kawalselia Skim Strata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang mana dirujuk di bawah Akta 757, Akta Pengurusan Strata 2013 yang dikuatkuasakan pada 2015.