Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
66) MASALAH PENGGANGGURAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Setakat ini,berapakah jumlah orang yang telah berdaftar di bawah Projek Selangor Retrenchment Helpline (SRH)?
Data sehingga 25 Jun 2009 daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Pusat ICT Selangor menunjukkan seramai 4,594 orang telah berdaftar melalui Selangor Retrenchment Helpline (SRH) yang terdiri daripada 2767 lelaki dan 1827 perempuan. Majoriti yang berdaftar adalah dari kalangan pekerja sektor perkilangan bukan eksekutif.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri sedia membantu mereka yang telah berdaftar di bawah Projek SRH?
- Selangor Retrenchment Helpline yang dibangunkan hasil kerjasama Pusat Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Selangor dengan syarikat Jobstreet.Com Sdn. Bhd (Jobstreet) bertujuan untuk mengumpul maklumat pekerja yang diberhentikan di negeri Selangor dan dalam pada masa yang sama membantu pekerja tersebut mendapatkan peluang-peluang kerjaya yang baru melalui penyuaipadanan (matchmaking) dengan syarikat-syarikat sedia ada yang berdaftar dengan Jobstreet.
Melalui sistem ini, pekerja yang diberhentikan boleh mendaftar dengan percuma melalui laman web www.selangor.gov.my. Kata laluan dan kata kunci (password) akan diberi bagi memudahkan penggunaan sistem tersebut di mana-mana tempat yang mempunyai jaringan internet. Setelah pendaftaran dilakukan, sistem akan menapis (filtering) maklumat yang diterima dan akan dipadankan (match-make) dengan kekosongan jawatan di dalam syarikat-syarikat yang telah sedia ada berdaftar. Tawaran kekosongan jawatan tersebut akan dibuat melalui e-mel pengguna dan sistem pesanan ringkas (SMS) berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pengguna.
Dalam pada masa yang sama, mereka yang diberhentikan ini boleh berdaftar melalui kaunter pendaftaran yang dibuka pada setiap hari Sabtu bermula 14 Mac 2009 dari jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh Negeri Selangor. Kaunter pendaftaran ini akan turut melibatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menawarkan bantuan menerusi program sedia ada kepada mereka yang benar-benar layak. Antara bentuk bantuan yang boleh diberikan termasuklah bantuan kewangan bulanan, bantuan kewangan rawatan, bantuan sewa rumah dan bantuan pendidikan anak-anak. Mereka yang layak akan diberi bantuan mengikut kadar sedia ada serta pemantauan dalam tempoh masa enam (6) bulan.
Sewaktu sesi pendaftaran, pihak Jobstreet juga turut membuka klinik kerjaya di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih. Klinik kerjaya tersebut merangkumi sesi kaunseling, ceramah ringkas dan peserta juga turut dibantu oleh pihak Jobstreet untuk menulis resume yang baik bagi meningkatkan peluang dalam mendapatkan pekerjaan yang baru.
Kerajaan Negeri turut menawarkan peluang latihan kepada pekerja yang diberhentikan atau yang berkemungkinan diberhentikan melalui institusi –institusi latihan di negeri Selangor yang telah mendapat pengiktirafan dan pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia. Kos latihan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia yang akan mengambil masa satu (1) hingga enam (6) bulan mengikut modul kursus. Di samping itu, para pelatih juga akan turut diberi elaun minima sebanyak RM500.00 hingga maksimum RM800.00 sebulan bergantung kepada kelayakan status sama ada bujang ataupun telah berkahwin bagi meringankan beban menjalani kehidupan seharian. Dengan latihan yang diberikan ini membolehkan mereka diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti sektor pelancongan, perhotelan dan perladangan. Ia juga dilihat antara langkah yang dapat mengurangkan kos operasi majikan yang terlibat sekali gus mengelakkan kemungkinan pekerja-pekerja diberhentikan.
-
Berapa jumlah / peratus yang telah berjaya mendapat pekerjaan baru melalui program ini?
Dalam soal selidik melalui telefon yang dilakukan terhadap 51 orang peserta yang berdaftar (secara rawak) di Selangor Retrenchment Helpline mendapati 47 % atau 24 orang telah mendapat pekerjaan manakala 53% atau 27 orang masih belum mendapat pekerjaan.
Daripada 24 orang yang telah mendapat pekerjaan itu, 11 orang daripadanya mendapat pekerjaan melalui sistem SRH manakala baki 13 orang mendapat pekerjaan melalui sumber yang lain.
Soal selidik ini dilaksanakan kerana mereka yang berdaftar melalui SRH ini tidak melaporkan kembali kepada pihak Kerajaan Negeri sama ada telah mendapat pekerjaan atau tidak.