Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

165) MASALAH PENGEMIS WARGA ASING

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah pengemis warga asing yang mengemis dari kenderaan di jalan-jalan yang semakin berleluasa mutakhir ini?

    PDRM

    Sikap kalangan pengemis yang semakin berani dan adakalanya bertindak agresif menimbulkan kebimbangan umum, apatah lagi kini semakin ramai dilihat berkeliaran di jalanan khususnya di sekitar kawasan Lembah Klang.

    Walaupun akur pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan ramai yang ditimpa kesusahan ekoran desakan ekonomi, namun timbul persoalan mengapa aktiviti mengemis yang kebanyakannya dimonopoli warga asing dibiarkan berleluasa sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan menggugat keharmonian setempat.

    Dalam usaha menangani isu pengemis ini, pihak PDRM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (JKM) telah menjalankan satu Operasi Khas Op Pintas Bersepadu (Pengemis) dan Op Penjaja bagi bertujuan membanteras aktiviti mengemis di negara ini khususnya di kawasan Lembah Klang.

    Fokus utama pihak PDRM melaksanakan operasi secara bersepadu ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti secara total sama ada terdapatnya elemen kesalahan TIP (eksploitasi buruh paksa) terhadap golongan pengemis / peminta sedekah OKU/OKU buta dan pengemis warga asing di sekitar Selangor. Matlamat operasi ini juga bagi memastikan golongan pengemis tidak menjadi sasaran atau mangsa eksploitasi buruh paksa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Pihak berkuasa telah mengambil tindakan di bawah undang-undang seperti berikut:

    1) Akta Orang-orang Papa 1977
    2) Akta Kanak-kanak 2001
    3) Akta Imigresen 1959/63
    4) Akta Pungutan Derma Rumah ke Rumah dan Jalan 1947
    5) Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59)

    Kesimpulannya, operasi serta penguatkuasaan yang berterusan berupaya mengurangkan masalah kewujudan golongan pengemis ini. Tidak mustahil suatu masa nanti, bandar-bandar besar di negara kita bebas daripada kewujudan manusia yang dikenali sebagai golongan pengemis. Dengan itu, semua pihak perlu mengembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini yang kian merebak dan setiap pengemis perlulah berusaha untuk berubah. Operasi ini juga dijalankan berterusan dari masa ke semasa berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi.

     

    JABATAN IMIGRESEN

    Isu Pengemis Warga Asing

    Kehadiran pengemis warga asing di Malaysia telah lama wujud di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Faktor yang membawa kepada kehadiran pengemis warga asing ini disebabkan oleh Faktor Menarik (Pull Factor) dan Faktor Menolak (Push Factor). Sebagai contoh Faktor Menarik adalah kestabilan ekonomi, politik serta penyesuaian sosio budaya yang baik di menjadikan kehadiran warga asing ini tertarik untuk berada Malaysia . Begitu juga dengan Faktor Menolak yang mana ia kesan daripada kemelesetan ekonomi negara dan ketidakstabilan politik/pemerintahan negara asing yang mendorong warga asing masuk ke Malaysia.

    Fenomena pengemis warga asing di Malaysia umumnya dan di Selangor khususnya merupakan suatu bentuk realiti sosial yang patut diambil perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya. Keadaan sosial ekonomi yang tidak menentu menyebabkan warga asing yang tidak mempunyai punca pendapatan yang tetap atau berterusan mencari jalan pintas dengan mengemis di premis-premis atau lokasi-lokasi yang strategik dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka di Malaysia seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Oleh itu, perlu kepada suatu mekanisme yang yang proaktif dari sudut penguatkuasaan undang-undang di Malaysia supaya pengemis warga asing ini dapat diuruskan dengan lebih efektif dan berkesan pada masa akan datang.

    Tindakan Agensi

    Masalah pengemis warga asing ini perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan secara menyeluruh dan komprehensif. Ini kerana terdapat juga pengemis yang bukan terdiri daripada warga asing yang menjalankan aktiviti mengemis di lokasi / premis-premis di negeri Selangor. Peranan agensi penguatkuasaan khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam menjalankan operasi serta pemantauan secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dilaksanakan dengan bersepadu dalam usaha membasmi aktiviti mengemis di negeri Selangor ini.

    Pelaksanaan operasi yang dijalankan secara bersepadu antara JIM dan JKM perlu ditingkatkan dari masa kesemasa dengan mengambil tindakan iaitu menyelamatkan pengemis warganegara Malaysia berdasarkan kepada peruntukan Akta Orang Papa 1977 di bawah JKM bagi tindakan pemulihan. Manakala pengemis warga asing akan diserahkan kepada pihak JIM bagi tindakan lanjut selaras di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/1963 serta undang-undang lain yang berkuatkuasa.

    Selain itu, peranan masyarakat adalah amat penting dalam menyalurkan aduan berkaitan masalah pengemis warga asing kepada agensi-agensi penguatkuasa supaya dapat diambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang di negara ini. Aduan yang disalurkan memerlukan kepada maklumat yang jelas dan tepat supaya tindakan operasi dapat dijalankan dengan cekap dan efektif sekaligus membendung pengemis-pengemis warga asing ini

Lampiran

Tiada Lampiran.