Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
4) MASALAH PENGAMBILAN SYARIKAT AIR DI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Hingga kini nampaknya usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat ingin mengambil alih syarikat air masih belum berselesai. Apakah masalah utama menghalang Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih syarikat air?
Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111-
Senarai Bersama. Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah
diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan
dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di
seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan
Labuan.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan perkhidmatan bekalan air
semenjak tahun 1994 dan penswastaan sepenuhnya telah dilaksanakan pada tahun
2004. Melalui penswastaan ini, Perjanjian Konsesi telah ditandatangani di antara
Kerajaan Negeri dan Syarikat Konsesi Air.
Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang
Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses
deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus
kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada. Perlembagaan Malaysia
memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut
undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan
atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan
bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan
syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar
kepada Pemegang Konsesi. Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan
yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan
undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak
bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. -
Apakah tuntutan Syarikat konsesi air yang dianggap tidak wajar?
Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah memperuntukkan bahawa
Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara
berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung
Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Di dalam
menjayakan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor,
kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mencapai persefahaman
bersama di dalam semua perkara yang berkaitan dengan nilai aset dan nilai liabiliti
syarikat konsesi air.
Di dalam menentukan nilai sebenar aset dan liabiliti yang akan diambil alih, faktor utama
yang dititik beratkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah nilai yang berpatutan dan
tidak membebankan pengguna. Syarikat konsesi air mempunyai hak di bawah
Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh
dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang
boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa
pampasan yang memadai.
Kerajaan Negeri Selangor masih memperhalusi nilai wajar untuk ditawarkan kepada
syarikat konsesi air supaya nilai tersebut tidak merugikan mana-mana pihak. -
Apakah tindakan seterusnya bagi pengambilalihan?
Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan bersama dengan keempatempat
syarikat pemegang konsesi air antara 25 hingga 29 Mei 2009. Tawaran
pengambilalihan syarikat konsesi air menggunakan Model holistik Negeri Selangor
diterima oleh SPLASH dan ABASS, manakala SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd
menolak tawaran tersebut.
Lanjutan tidak mendapat persetujuan dari kesemua syarikat pemegang konsesi ke atas
Model holistik Kerajaan Negeri Selangor, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau
dan Air (KTTHA) telah bersetuju supaya Model Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
digunakan untuk proses penstrukturan semula di Selangor.
Di bawah Model PAAB ini, SYABAS akan dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan
Air Negara (SPAN) sebagai operator agihan manakala ABASS, SPLASH dan Puncak
Niaga dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN. Di
bawah Model PAAB ini juga, pegangan ekuiti Kerajaan Negeri Selangor di dalam
SYABAS akan ditingkatkan dari 30% kepada 49% manakala pegangan ekuiti Puncak
Niaga di dalam SYABAS akan dikurangkan dari 70% kepada 51% dan saham emas
akan kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.
Penerimaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Model PAAB adalah tertakluk kepada
beberapa syarat seperti berikut:-
i) Terma-terma dan syarat-syarat yang mengkehendaki pengurusan SYABAS
yang profesional, berkebolehan dan efisien akan dimuktamadkan di dalam
Perjanjian Pemegang Saham yang akan ditandatangani di antara pemegang
ekuiti SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor; dan
ii) Model PAAB dipersetujui untuk diterima oleh keempat-empat syarikat pemegang
konsesi air negeri Selangor.
Antara 16 Mac 2010 hingga 23 Mac 2010, pihak KTTHA telah membuat rundingan
bersama kesemua syarikat konsesi air bagi memaklumkan nilai untuk pengambilalihan
oleh PAAB. Kesemua syarikat konsesi air diberi tempoh sehingga 06 April 2010 untuk
memberikan maklum balas ke atas tawaran tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak SPLASH dan ABASS telah mengemukakan maklum balas
menolak tawaran oleh KTTHA tersebut. Sekiranya Model PAAB ini tidak dapat diterima
oleh kesemua syarikat pemegang konsesi air, maka Kerajaan Negeri Selangor akan
mencadangkan supaya Model holistik Negeri Selangor diguna pakai semula dengan
mengguna pakai nilai yang ditawarkan oleh KTTHA.
Namun demikian, keputusan akhir sama ada Model holistik negeri Selangor akan
diterima pakai adalah tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri. Ini adalah kerana
melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa
Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara
berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung
Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.