Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
11) MASALAH PENCEMARAN SUNGAI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri menangani masalah pencemaran sungai di Selangor khususnya di Daerah Klang?
Kawasan Lembangan Sungai Klang yang berada di dalam Daerah Klang dan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) meliputi kawasan seluas 112.10 km persegi iaitu sebanyak 8.77% daripada 1278.00 km persegi keseluruhan Lembangan Sungai Klang dan kedudukannya adalah di bahagian hilir ke muara Sungai Klang.
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS melaksanakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran di Lembangan Sungai Klang termasuk di dalam Daerah Klang merangkumi perkara-perkara berikut:
- Inisiatif Kerajaan Negeri melalui Selangor Maritime Gateway (SMG) di Sungai Klang dengan LUAS menjadi urusetia pelaksanaan Jawatankuasa Kecil Air Bagi Pembangunan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG). Salah satu objektifnya bertujuan meminimumkan jumlah sisa pepejal ke muara sungai dengan pemasangan dua(2) buah interceptor di Sungai Klang oleh pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd. Bagi menambah keberkesanan menangani isu sisa pepejal di Sungai Klang, telah dipasang 10 buah mini log boom. Pelaksanaan pemantauan kualiti air turut diperkasakan di Sungai Klang melalui empat (4) buah Stesen Pemantauan Kualiti Air secara telemetri di Sungai Klang iaitu di Pengkalan Batu, Kampung Medan, Jeti Sungai Udang dan Kampung Lombong;
- Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko di Sungai Klang sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
- Melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program, RMP di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Pemantauan ini berdasarkan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai Sembah dan Anak – Anak Sungainya, Sungai Klang dan Sungai Damansara. Objektif pelaksanaan RMP melalui Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang adalah seperti berikut:
- Memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara;
- Menentukan outfall aliran ke sungai untuk tujuan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall; dan
- Menyelaraskan cadangan kawalan kepada kualiti air bagi pelepasan aliran dari outfall yang melibatkan aktiviti dari kawasan pembangunan, komersial, industri dan persekitarannya untuk diambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan selaras bidang kuasa.
- Memperkasakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu bagi isu pencemaran berdasarkan seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999;
- Mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Sahabat Sungai atau dikenali Friends of River,FoR di mana program ini meliputi seluruh kawasan sungai di Negeri Selangor yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat memelihara dan memulihara sungai/ sumber air di kawasan masing-masing termasuk di Daerah Klang; dan
- Pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) melalui Peraturan-peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, Dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan Dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 bagi pengawalan pelepasan ke sumber air daripada punca. Pelaksanaan polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi serta menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau seperti reuse and recycle pelepasan efluen.
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Walaupun tiada LRA di dalam daerah Klang pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan agensi-agensi terlibat sentiasa berusaha meningkatkan kualiti air di Sungai Klang dengan pelbagai usaha yang akan terus dilaksanakan bagi mengimbangkan pembangunan yang pesat dan pemeliharaan sumber air.
-
Apakah program pemulihan sungai yang sedang dilaksanakan?
Pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa program pemulihan sumber air / sungai di Daerah Klang seperti berikut:
- Kerajaan Negeri Selangor melalui Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) telah melaksanakan inisiatif meminimumkan sisa pepejal/sampah hanyut ke muara sungai dengan pemasangan dua(2) buah interceptor di Sungai Klang dan juga mini log boom;
- Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS melaksanakan tindakan dengan pendekatan mikro iaitu kawalan ke atas punca melalui pensampelan di outfall yang masuk ke Sungai Klang dengan pelaksanaan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program, RMP. Berdasarkan keputusan pensampelan RMP yang menunjukkan bacaan IKA yang rendah akan difokuskan tindakan pemantauan bersepadu bagi pengenalpastian punca bagi tindakan penguatkuasaan selaras Enakmen LUAS 1999 dan juga perundangan berkuatkuasa selaras bidang kuasa agensi seperti pihak JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan; dan
- Pihak LUAS juga telah mengambil inisiatif melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan kualiti air di kawasan tapak pemantauan RMP yang mengalami permasalahan kualiti air dengan pendekatan bioteknologi atau teknologi hijau bagi meningkatkan kualiti airnya.
-
Bagaimana kerajaan memastikan penguatkuasaan undang-undang pencemaran?
Bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang berkenaan pencemaran sumber air dilaksanakan, Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang mengandungi beberapa inisiatif bagi pelaksanaan LUAS iaitu:
- Penguatkuasaan Enakmen LUAS 1999 yang telah dipinda pada tahun 2020 dengan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pencemaran sumber air iaitu:
- Denda minimum RM 200,000 dan maksimum RM 1,000,000;
- Penjara mandatori;
- Menyita tanpa waran;
- Menuntut ganti rugi bagi pemuliharaan sumber air yang tercemar;
- Memberikan ganjaran kepada pemberi maklumat.
2. Pemantauan dua puluh empat (24) jam di kawasan-kawasan sensitif sumber air yang berpotensi mengganggu operasi loji-loji rawatan air di lembangan Sungai Selangor dan lembangan Sungai Langat agar keterangan-keterangan yang berkaitan dengan kesalahan dapat diperolehi melalui pendekatan-pendekatan berikut:
- Menggantikan pemantauan secara dron berteknologi tinggi dengan pendekatan pemantauan melalui satelit dengan kerjasama bersama Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MySA);
- Menempatkan pemantauan awal kecemasan dengan kaedah stesen-stesen telemetri dan penggunaan teknologi Total Organic Carbon Analyser.