Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
62) MASALAH PENCEMARAN BERLAKU DI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah polisi Kerajaan Selangor untuk menangani masalah pencemaran berlaku akibat pembangunan projek lebuhraya atau projek pembangunan TNB?
Setiap aktiviti manusia membawa kepada pencemaran. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang berkaitan untuk meminimakan pencemaran tersebut dan kesannya dengan melaksanakan langkah mitigasi dan kawalan pencemaran.
Setiap cadangan kawasan pembangunan termasuk pembangunan projek lebuhraya atau projek pembangunan TNB, akan dibincangkan di dalam jawatankuasa teknikal One Stop Centre (OSC) yang diurusetiakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Semua agensi teknikal akan memberikan ulasan berdasarkan bidang kuasa masing-masing termasuklah aspek pengawalan pencemaran. Ini termasuk kelulusan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Environmental Impact Assessment (EIA) dan Detail Environment Impact Assessment (DEIA).
Bagi pengawalan sumber air, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah meluluskan 2 kertas polisi untuk dikuatkuasakan di bawah Enakmen LUAS 1999, iaitu Strategi Pengurusan Sungai Negeri Selangor (diluluskan pada 30 Mei 2012) dan Strategi Pengurusan Tasik Negeri Selangor (diluluskan pada 25 Jun 2014).
-
Apakah polisi Kerajaan Selangor memastikan alam sekitar Selangor tidak dicemari seperti air sungai?
Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 105 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai, rizab sungai dan sumber air daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.
Selain daripada LUAS, pihak-pihak lain seperti JAS, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli-ahli majlis juga memainkan peranan penting dalam usaha untuk mengawal pencemaran sumber air. Pemantauan berkala dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.