Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

122) MASALAH PEKERJA ASING, PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) & PELARIAN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah dasar kerajaan negeri mengenai kemasukan, penempatan dan pengambilan pekerja asing, PATI dan pelarian?

    Sehingga kini, dianggarkan terdapat berjumlah 1.95 juta orang pendatang asing di Malaysia. Jumlah tersebut dianggarkan menyamai jumlah bilangan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang menetap di Malaysia. Angka tersebut adalah sangat membimbangkan dan menjadi masalah yang membelenggu bukan hanya di Negeri Selangor malahan di seluruh negara.

    Untuk makluman YB, kawalan dan dasar pengambilan warga asing adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Bidang kuasa kemasukan, penempatan dan pengambilan pekerja asing adalah di bawah tanggungjawab dan kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia.

  2. Adakah kerajaan sedar bahawa kedatangan pekerja asing, PATI dan pelarian telah menimbulkan masalah jenayah, gangguan sosial, kesihatan, rebutan peluang pekerjaan dan perniagaan tanpa lesen dll. Contoh seperti yang berlaku di kawasan Alam Jaya dan Venice Hill, Hulu Langat.

    Kerajaan Negeri menyedari hakikat kebanjiran PATI ini telah menyumbang pelbagai impak negatif kepada ekonomi, sosial dan persekitaran. Pada asalnya kedatangan warga asing ini adalah bagi mengisi keperluan pekerjaan dalam bidang tertentu seperti pertanian dan pembinaan. Namun demikian, PATI dilihat telah mengambil alih ekonomi rakyat tempatan dan semakin berani menutup periuk nasi rakyat tempatan. Kehadiran PATI membawa budaya dan imej yang buruk kepada masyarakat dan keadaan persekitaran seterusnya membantutkan usaha-usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan.

  3. Nyatakan langkah-langkah pengawalan oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan?

    1. Kerajaan Negeri tidak mempunyai punca kuasa khusus bagi menangani masalah ini. Namun demikian, Kerajaan Negeri boleh membantu mengurangkan kebanjiran PATI melalui pelaksanaan polisi dari sektor ekonomi. Kerajaan Negeri Selangor memfokuskan kepada ekonomi berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran tenaga kerja berkemahiran tinggi. Pelaksanaan dasar ini dilihat akan membuka peluang yang lebih kepada pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada PATI.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga giat melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap lesen perniagaan yang diberikan. PBT akan mengambil tindakan menyita dan membatalkan lesen perniagaan sekiranya didapati penduduk tempatan memberikan lesen perniagaan kepada PATI.

     

    Kerajaan Persekutuan sememangnya telah melaksanakan pelbagai operasi membanteras PATI dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti berikut:

    • Operasi penguatkuasaan dan penangkapan PATI di kawasan pembinaan premis perniagaan;
    • Memantau dan operasi terhadap premis perniagaan bagi memastikan lesen perniagaan tidak ‘dialibabakan’ kepada PATI;
    • Memantau perumahan awam dan mengenakan tindakan undang-undang kepada penyewa yang menyewakan rumah kepada PATI;
    • Kawalan terhadap pintu keluar masuk negara dan sempadan negara bagi menghalang kemasukan PATI;dan
    • Mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik lesen perniagaan yang menyewakan premis kepada PATI.

    Namun, usaha tersebut tidak mengurangkan jumlah PATI tapi dilihat semakin bertambah. Kerajaan Persekutuan digesa untuk melipatgandakan usaha bagi membanteras kebanjiran PATI.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.