Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
223) MASALAH PARKIR KOMPAUN DAN SAMPAH DI TAMAN ORKID
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan pihak PBT dalam menyelesaikan isu masalah kompaun parkir kepada penghuni di Taman Orkid ini?
Taman Orkid telah diwartakan sebagai kawasan tempat letak kereta berbayar dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang pada 20 Disember 2018 menerusi pewartaan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007.
Taman Orkid adalah merupakan bangunan perniagaan jenis “Shop-Apartment” dan telah diwartakan sebagai Zon Perniagaan di bawah Pelan Rancangan Tempatan MPKj.
Justeru, sebagaimana kawasan-kawasan perniagaan yang lain, lot-lot parkir di kawasan ini adalah merupakan kawasan awam dan terletak di bawah seliaan MPKj. Mana-mana individu yang ingin menggunakan petak parkir di kawasan tersebut adalah tertakluk kepada kadar caj parkir yang telah diwartakan iaitu RM 0.50 sejam sahaja.
Walau bagaimanapun, bagi membantu meringankan beban penduduk dan penyewa di kawasan tersebut, MPKj telah memperkenalkan Pas Penduduk dengan harga istimewa iaitu serendah RM 31.80 sebulan atau bersamaan RM 1.06 sehari kepada penyewa dan / atau pemilik premis yang menggunakan parkir di kawasan tersebut. Hanya tiga dokumen yang diperlukan bagi pembelian Pas Penduduk ini iaitu salinan kad pengenalan, salinan perjanjian sewaan atau perjanjian jual beli serta salinan geran kenderaan. Diharap dengan pelaksanaan Pas Penduduk ini, para penduduk dan penyewa yang mendiami kawasan tersebut boleh menikmati kadar istimewa terendah ini tanpa bebanan yang tinggi.
-
Apakah perancangan dalam menangani isu longgokan sampah yang banyak di Taman Orkid?
MPKj sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan dan tindakan bagi menangani isu longgokan sampah seperti Operasi Intipan sampah haram yang dilaksanakan setiap minggu bagi mengkompoun mana-mana orang awam yang membuang sampah dengan cara yang tidak betul. Di samping itu juga, pada tahun ini MPKj telah membuat tambahan bayaran kepada pihak KDEB bagi meningkatkan kekerapan kutipan sampah di kawasan tersebut.