Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

14) MASALAH PARIT DAN TEKANAN AIR KAMPUNG

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah JKR atau Pejabat Tanah Gombak dapat mewujudkan longkang yang sesuai bagi menghalang banjir di jalan MP1 sehingga MP3?

    Kerajaan Negeri Selangor telah pun mengambil maklum perkara tersebut dan untuk makluman YB DUN Paya Jaras, perkara tersebut telah pun dalam proses untuk diteliti dan diperbaiki sistem saliran di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi PBT iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah pun ke lokasi yang dimaksudkan dan pihak MPS telah pun merangka satu perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem perparitan di lokasi berkenaan.

    Dimaklumkan bahawa pihak MPS telah pun membuat jajaran (survey) longkanglongkang yang dimaksudkan dan sedang dalam proses menunggu pelan jajaran daripada pihak juruukur. Setelah itu, MPS akan menyediakan kertas cadangan pelebaran longkang berdasarkan pelan jajaran longkang tersebut. Tempoh masa untuk proses awal ini adalah dalam tempoh 2 hingga 3 minggu. Setelah kelulusan cadangan diperoleh, baru lah kontraktor yang dilantik akan menjalankan kerja-kerja naik taraf longkang-longkang tersebut. Keseluruhan proses ini dijangka akan siap dalam tempoh 8 minggu daripada tarikh lantikan dan bergantung kepada keadaan semasa.

    Dengan cara ini, adalah diharapkan permasalahan penduduk setempat yang kerap mengalami banjir akan selesai dengan seberapa segera demi kepentingan penduduk setempat.

  2. Bilakah Syabas akan memulakan program air akibat dari masalah tekanan air dan masalah sambungan "speggeti" di kawasan kediaman sekitar MP1?

    Air adalah sumber kehidupan dan Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan keperluan sumber air bersih bagi rakyat di Negeri Selangor ini. Sumber air bersih untuk kegunaan seharian amat lah penting bagi meneruskan kehidupan seharian. Dalam pada masa yang sama, dalam membekalkan air bersih kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor, kerajaan negeri juga amat prihatin akan kesempitan hidup akibat ketidaktentuan ekonomi negara yang mengakibatkan kemerosotan pendapatan isi rumah. Untuk makluman semua wakil rakyat, bagi perbelanjaan Tahun 2017 yang telah pun dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada tahun lalu, sebanyak RM183.2 juta telah disediakan untuk program air percuma di seluruh Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor, melalui agensi di bawah nya, Air Selangor telah pun ambil maklum berhubung masalah tekanan air dan masalah sambungan paip yang sering kali pecah seperti yang dimaklumkan oleh YB DUN Paya Jaras. Untuk makluman YB DUN Paya Jaras, pihak Air Selangor telah pun dalam perancangan untuk menaik taraf sistem paip di seluruh Negeri Selangor termasuk di kawasan tersebut. Projek naik taraf ini adalah termasuk menukar paip-paip yang telah usang dan ini melibatkan kos yang tinggi. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan kejadian yang tidak di ingini, pihak Air Selangor telah pun merancang untuk memasang injap bagi merendah dan mengawal sistem pengurusan tekanan air di kawasan tersebut dalam masa terdekat bagi mengurangkan impak paip pecah dan kerosakan harta benda penduduk

Lampiran

Tiada Lampiran.