Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

120) MASALAH MILIKAN RUMAH

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang patut diambil oleh pembeli rumah pangsapuri Nusa Mewah yang mana mereka telah habis membuat pembayaran tetapi nama mereka telah dibatalkan?

    Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, skim pemulihan projek ini dibuat melalui Skim ‘Arrangement’ di bawah Seksyen 176, Akta Syarikat 1965 yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 September 2010. Oleh kerana kegagalan menandatangani perjanjian tambahan dalam masa yang ditetapkan maka pembatalan perjanjian jual beli asal telah dibuat oleh pelikuidasi Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd. Dengan itu, unit mereka telah diserahkan secara kontra kepada pemaju penyelamat bagi menampung kos pemulihan projek. Sehubungan dengan isu penamatan perjanjian tersebut, perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat EXCO-MTES pada 25 Jun 2014 dengan memutuskan supaya pelikuidasi menawarkan semula unit kepada 136 pembeli dengan kos tambahan yang ditetapkan sekitar RM30,690.00 berserta kadar faedah sebanyak 8% di atas kelewatan menandatangani perjanjian jual-beli.

     

    Pada 21 Mac 2016, satu perbincangan telah diadakan yang dipengerusikan oleh EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar melibatkan YB ADUN Teratai, LPHS, wakil pembeli seramai 15 orang dan pelikuidasi. Pelikuidasi memaklumkan sebanyak 224 unit daripada 360 unit telah diserahkan kepada pembeli asal manakala baki 136 unit telah dibatalkan perjanjian asal pembeli dengan dijual kepada pembeli baru. Penamatan perjanjian tersebut dibuat setelah perbincangan antara pihak pelikuidasi dengan pihak bank dipersetujui dengan menawarkan pembayaran semula (refund) berasaskan jumlah kewangan yang telah dikeluarkan. Melalui keputusan mesyuarat pada 21 Mac 2016, pelikuidasi telah diarahkan supaya menawarkan semula unit berkenaan kepada 136 pembeli asal sebagaimana keputusan EXCO MTES. Sekiranya urusan mengembalikan unit-unit ini tidak

     

    dapat dilaksanakan oleh pelikuidasi maka disyorkan agar pembeli yang terlibat mengambil tindakan Mahkamah bagi menuntut unit-unit mereka.

  2. Adakah Kerajaan Negeri meletakkan nama pemaju yang tidak bertanggungjawab dalam senarai hitam?

    Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut dipaparkan dalam laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Melalui sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di LPHS, pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh PBT. Sekiranya dikenalpasti nama-nama pemaju terlibat telah disenaraihitamkan maka pemaju tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah syarikat pemaju

Lampiran

Tiada Lampiran.