Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

124) MASALAH KUTIPAN SAMPAH

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila perjelaskan apakah punca utama yang menyebabkan sejak kebelakangan ini sering berlaku masalah kelewatan kutipan sampah di kebanyakan PBT ?

    Kerajaan Negeri mengakui bahawa terdapat beberapa punca utama yang menyebabkan masalah kelewatan kutipan sampah. Pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyatakan antara punca tersebut adalah kerana masalah kerosakan lori dan tiada lori ‘back up’ bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut. Manakala pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan bahawa masalah kelewatan utama adalah kerana kontraktor dilantik adalah berbentuk interim (sementara) menyebabkan kebanyakan kontraktor kekurangan logistik.

  2. Sila nyatakan apakah modus operandi yang diguna pakai oleh setiap PBT bagi mengatasi masalah tersebut ?

    Terdapat beberapa modus operandi yang dilakukan oleh PBT bagi mengatasi masalah tersebut. Pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) membuat pendekatan awal dengan menyediakan kontraktor ‘back up’ tetapi dengan bayaran berdasarkan kepada potongan bayaran kontraktor asal. Selain daripada itu, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil pendekatan dengan melakukan ‘back up’ secara serta-merta terhadap kontraktor yang tidak menjalankan kerja dengan sempurna.

  3. Sila kemukakan butiran terperinci jumlah perbelanjaan kutipan sampah dan kerja-kerja pembersihan setiap tahun bagi seluruh PBT Negeri Selangor ?

    Kerajaan Negeri melalui semua PBT di Negeri Selangor telah memperuntukkan kewangan bagi memastikan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam dapat dilaksanakan dengan sempurna. Peruntukan kewangan tersebut dapat dilihat di LAMPIRAN 1.

    LAMPIRAN 1

    BIL. PIHAK BERKUASA TEMPATAN

    (PBT)

    PEMBERSIHAN AWAM (RM) KUTIPAN SAMPAH (RM)
    1. MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM 38,842,585.87 22,678,860.73
    2. MAJLIS BANDAR RAYA PETALING JAYA 22,800,000.00 19,200,000.00
    3. MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA 37,800,000.00 34,400,000.00
    4. MAJLIS PERBANDARAN KAJANG 1,300,000.00 1,950,000.00
    5. MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 38,803,220.00
    6. MAJLIS PERBANDARAN KLANG 20,948,135.28 15,135,378.00
    7. MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA 20,365,065.11 16,784,695.63
    8. MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 7,980,142.80 7,036,237.44
    9. MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR 3,400,000.00 3,600,000.00
    10. MAJLIS DAERAH SABAK BERNAM TIADA JAWAPAN
    11. MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR 9,500,000.00 8,300,000.00
    12. MAJLIS DAERAH KUALA LANGAT 3,912,303.72 4,035,408.00

Lampiran

Tiada Lampiran.