Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
244) MASALAH KESIHATAN MENTAL DI KALANGAN PELAJAR DAN MURID-MURID SEKOLAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kesihatan mental di kalangan pelajar dan murid-murid sekolah di Selangor?
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan tindakan yang dilaksanakan tentang isu kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah di negeri Selangor. JPN Selangor sentiasa memandang serius mengenai isu kesejahteraan mental murid sekolah dan menjalankan pemantauan kepada murid berisiko iaitu bagi kategori Krisis dan Khusus. Intervensi turut dilaksanakan di peringkat sekolah bagi memastikan murid-murid kekal terpelihara kesejahteraan emosi dan diri. Sebarang pengesanan murid berisiko (kategori krisis dan khusus) yang dikenalpasti melalui Saringan Minda Sihat akan dibantu oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah masing-masing dengan kadar segera.
JPN Selangor sangat komited dan sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Pelaksanaan Program Minda Sihat di sekolah. Pelan tindakan untuk memantau kesihatan mental murid sekolah adalah sangat penting dalam memastikan mereka diberikan kesedaran serta mendapat sokongan psikologi dan emosional. Berikut adalah beberapa langkah yang telah diambil untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kesihatan mental di dalam kalangan murid-murid sekolah di Selangor:
- Garis Panduan Pelaksanaan Program Minda Sihat Sekolah.
Pihak sekolah melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) memberi penekanan kepada meningkatkan kesedaran kesejahteraan sosioemosi dan mental murid melalui 5 strategi utama program minda sihat iaitu promosi, saringan, intervensi, konsultasi dan rujukan. UBK memberikan pendidikan melalui intervensi yang bersesuaian sama ada secara khusus atau umum dalam meningkatkan keupayaan murid mengemudi (regulasi) emosi dan kemahiran gaya daya tindak dengan baik. Saringan juga dijalankan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal yang dialami oleh murid dan merujuk murid yang mengalami masalah emosi, psikologi dan mental kepada pihak yang bertanggungjawab dengan prosedur yang betul
- Latihan Kepakaran kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK).
Di sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) yang terlatih untuk memberi sokongan kepada murid yang memerlukan perhatian. Mereka ini berperanan sebagai orang yang dapat dipercayai oleh murid untuk berkongsi masalah mereka. GBK sekolah akan menjalankan sesi kaunseling secara berkala kepada murid berisiko (kategori krisis dan khusus) yang menghadapi tekanan atau memerlukan bantuan dalam menangani isu berkaitan kesejahteraan mental. JPN Selangor telah melaksanakan 9 siri bengkel kompetensi yang melibatkan 580 orang GBK di semua 10 daerah di Selangor. Bengkel kompetensi ini telah diadakan sepanjang bulan April hingga Oktober 2024 secara bersemuka.
- Saringan Minda Sihat
Dijalankan setiap tahun dua kali setahun (Saringan 1 dan Saringan 2) untuk murid bagi mengenalpasti sebarang tanda-tanda awal yang dihadapi oleh murid di sekolah menengah dan sekolah rendah. Saringan ini boleh membantu mengenal pasti murid yang berisiko lebih awal, dan tindakan yang bersesuaian boleh diambil sebelum masalah menjadi lebih serius.
- Kerjasama berterusan dengan Ibu Bapa.
Makluman kepada ibubapa/ penjaga melalui promosi minda sihat di sekolah berkenaan kesedaran penjagaan diri dan mental bagi menyokong kesejahteraan emosi anak-anak mereka. Selain itu, konsultasi dijalankan bersama ibu bapa/penjaga yang telah dikenal pasti bagi membincangkan tindak susul selanjutnya dalam membantu anak-anak.
- Memperkasakan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah.
PRS dilatih untuk menjadi “peer support” bagi rakan sebaya yang mungkin memerlukan sokongan. Selaras dengan cogan kata #kitakansahabat dalam membantu rakan-rakan agar merasa lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan rakan sebaya yang dipercayai.
- Jaringan dan Jalinan bersama Agensi Kesihatan.
Pihak sekolah atau ibubapa membuat rujukan segera kepada klinik kesihatan bagi murid yang menunjukkan tindakan kecenderungan memudaratkan diri. Selain itu, penglibatan bersama agensi kesihatan dalam mempromosi kesedaran penjagaan kesejahteraan mental di peringkat sekolah, daerah dan juga negeri.
-
Berapakah jumlah kes masalah kesihatan mental yang telah direkodkan melibatkan pelajar dan murid-murid sekolah di Negeri Selangor?
Berdasarkan Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Negeri Selangor menunjukkan tingkah laku psikososial negatif di kalangan murid terkawal. Intervensi berfokus dan aktif dijalankan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling kepada murid-murid bagi kategori krisis dan khusus. Tahap kemurungan murid diukur menggunakan instrumen Patient Health Questionnaire (PHQ) menunjukkan murid-murid yang berisiko bagi sekolah menengah adalah sebanyak 697 orang bagi kategori sangat teruk dan bagi sekolah rendah pula sebanyak 873 orang menunjukkan tanda awal kemurungan. Manakala, pemikiran tingkah laku mencederakan diri dan membunuh diri (berfikiran setiap hari) adalah sebanyak 1,020 orang. Seterusnya, tahap kebimbingan murid pula diukur menggunakan instrumen General Anxiety Disorder (GAD) menunjukkan sebanyak 1,368 orang kategori sangat teruk bagi murid sekolah menengah. Manakala bagi sekolah rendah pula seramai 711 orang murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kebimbingan.
INFO TAMBAHAN
INSTRUMEN BILANGAN SEKOLAH Patient Health Questionnaire (PHQ-9) Tanda-tanda awal kemurungan
697 SEKOLAH MENENGAH
Patient Health Questionnaire (PHQ-9) No.9 Pemikiran tingkah laku mencederkaan diri / bunuh diri
1020 General Anxiety Disorder (GAD-7) Tanda-tanda awal kebimbangan
1368 Patient Health Questionnaire (PHQ-2) Tanda-tanda awal kemurungan
873 SEKOLAH RENDAH
General Anxiety Disorder (GAD-2) Tanda-tanda awal kebimbangan
711