Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

135) MASALAH INFRASTRUKTUR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan dalam mengatasi air bertakung/banjir di simpang 4 Bandar Sri Coalfields serta melebarkan jambatan kepada laluan trafik tersebut?

    Banjir hanya berlaku apabila paras air sungai di Laluan FT1210 tinggi kerana tiada saliran sempurna dari sungai tersebut ke longkang jalan di simpang empat Bandar Seri Coalfields. Kelulusan menaiktaraf sistem perparitan telah diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada bulan Mac 2021. Memandangkan skop kerja menaiktaraf sistem perparitan di Laluan FT1210 telah dimasukkan dalam syarat Kebenaran Merancang kepada pihak pemaju, kerja tersebut tidak dilaksanakan.

    Untuk tindakan Jangka Panjang, projek menaiktaraf sistem perparitan dan pelebaran jambatan ini termasuk dalam syarat-syarat Kebenaran Merancang bagi pembangunan di bawah pemaju Kemudi Ehsan Sdn Bhd dimana kerja-kerja menaiktaraf Jalan Meru Tambahan, FT1210 sepanjang 1.756km meliputi pelebaran jalan sedia ada daripada 2 lorong kepada 6 lorong termasuk jambatan yg merentangi Sungai Buloh serta membina sistem saliran tepi jalan.

  2. Apakah perancangan kerajaan menyediakan kemudahan sekolah, balai bomba, balai polis, hospital dan infrastruktur internet dalam bandar Puncak Alam?

    Penyediaan kemudahan awam seperti sekolah, balai bomba, balai polis, hospital dan sebagainya adalah berdasarkan anggaran jumlah penduduk yang akan dijana. Jumlah dan saiz tapak-tapak kemudahan adalah mengikut Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang telah disahkan pemakaiannya oleh MMKN Ke 36/2016.

    Setiap permohonan pelan pembangunan akan dirujuk kepada 13 jabatan/agensi teknikal berkaitan untuk ulasan dan semakan bagi tujuan pematuhan terhadap Garis Panduan sediada sebelum permohonan dipertimbangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.