Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
38) MASALAH INFRA
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar wabak denggi di kawasan Daerah Klang dan Khususnya DUN Sentosa?
Berikut merupakan inisiatif yang telah diambil oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mengurangkan kadar wabak denggi di kawasan Daerah Klang:-
- Memperuntukkan sebanyak RM 5,000.00 kepada setiap Ahli Majlis kawasan bagi tujuan progam “Gempur Aedes” di kawasan masing-masing.
- Mengadakan OPS Bersepadu PBT Selangor bagi tujuan membantu dalam kawalan dan pencegahan demam denggi di daerah Klang.
- Memperkasakan COMBI dalam komuniti untuk menjalankan promosi kesihatan dari rumah ke rumah dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes melalui Ahli Majlis kawasan.
- Mewujudkan OSCC (One Stop Crisis Centre) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Bandaraya Shah Alam bagi tujuan menganalisa, merancang dan menyelaraskan kes demam denggi bagi menjalankan aktiviti kawalan yang berkesan.
-
Adakah Pihak Berkuasa Tempatan/ Majlis Perbandaran mengenakan tindakan terhadap premis perniagaan tanpa tong sampah?
PBT mensyaratkan setiap premis perniagaan perlu menyediakan tong sampah yang seragam iaitu tong sampah mudah alih (MGB) bersaiz 660L bagi premis makanan dan tong sampah mudah alih (MGB) bersaiz 240L bagi premis perniagaan yang lain. Bagi premis perniagaan yang gagal menyediakan tong sampah seperti yang disyaratkan, pihak PBT akan mengenakan tindakan notis amaran atau kompaun secara terus di bawah punca kuasa perundangan berikut:
- Undang – Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007
- Undang – Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007
-
Mampukah PBT membekalkan tong sampah kepada premis perniagaan?
Secara prinsipnya, penyediaan tong sampah di premis perniagaan adalah di bawah tanggungjawab setiap pengusaha perniagaan itu sendiri dan ia diletakkan di bawah syarat lesen perniagaan. Adalah tidak wajar PBT menyediakan tong sampah kepada sesebuah premis perniagaan kerana permintaan sama akan turut dilaksanakan oleh pengusaha perniagaan yang lain dan seterusnya akan melibatkan implikasi kewangan yang besar oleh PBT. Sehubungan dengan itu, PBT tidak berhasrat untuk menyediakan tong sampah kepada premis perniagaan seperti yang dicadangan oleh Yang Berhormat Sentosa.