Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
103) MASALAH GELANDANGAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam membantu gelandangan di Selangor yang kian meningkat dalam tempoh PKP?
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor prihatin berhubung isu gelandangan di Negeri Selangor. JKM Negeri Selangor adalah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk menyelamatkan orang papa seperti diperuntukkan di bawah Akta 183 tersebut.
Bagi kes orang papa (pengemis) yang melibatkan warganegara, mereka akan diserahkan semula kepada waris atau penjaga, dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya memenuhi kelayakan. Bagi kes orang papa yang tiada waris atau penjaga pula, golongan ini akan ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan NGO.
Pihak JKM juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kes yang memerlukan. Di samping itu, JKM sentiasa membuat rujukan kes kepada agensi lain yang berkaitan sekiranya kes-kes tersebut memerlukan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kewangan, bantuan sewa rumah, bantuan pekerjaan dan lain-lain bantuan yang bersesuaian. Agensi yang sentiasa bekerjasama adalah seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Bagi kes orang papa bukan warganegara pula, JKM akan merujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, pihak JKM akan merujuk kes berkenaan kepada pihak hospital dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk diuruskan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.
Bilangan operasi yang dijalankan dari Januari hingga Jun 2021 adalah berjumlah 149 operasi, yang mana secara bersepadu telah dilaksanakan sebanyak 4 operasi, secara berjadual telah dilaksanakan sebanyak 14 operasi dan melalui aduan atau ad-hoc sebanyak 131 operasi. Statistik operasi mengikut daerah di Negeri Selangor bagi Januari hingga Jun 2021 adalah seperti jadual berikut:
Daerah /Bahagian / Jajahan Jenis Operasi Jumlah Bersepadu Berjadual Aduan/ Ad-Hoc Petaling 1 10 21 32 Subang Jaya 0 0 20 20 Shah Alam 0 0 4 4 Klang 0 0 15 15 Hulu Langat 0 0 23 23 Gombak 2 0 25 27 Kuala Langat 0 0 8 8 Sepang 0 0 2 2 Hulu Selangor 0 1 3 4 Kuala Selangor 1 1 10 12 Sabak Bernam 0 2 0 2 Jumlah Keseluruhan 4 14 131 149 -
Adakah perancangan Kerajaan Negeri bagi mewujudkan Pusat Transit Gelandangan di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, pada ketika ini pihak JKM Negeri Selangor menempatkan sementara kes-kes gelandangan dan orang papa di Pusat Sehenti Sg. Buloh atau lebih dikenali sebagai Kompleks Penyayang Bakti Sg. Buloh. Justeru Kerajaan Negeri Selangor akan menimbangkan keperluan Pusat Transit Gelandangan di Negeri Selangor pada masa akan datang, dengan mengikut keadaan dan peningkatan kes serta keberadaan peruntukan sewajarnya.