Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
105) MASALAH END-FINANCING PEMBELI RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah dan peratusan pembeli Rumah Selangorku yang berdepan dengan masalah end-financing dan menyebabkan mereka tidak mendapat pembiayaan daripada bank ?
Untuk makluman Yang Berhormat, seramai 17,514 pemohon iaitu 41.6% pembeli Rumah Selangorku yang berdepan dengan masalah ‘end-financing’ berbanding seramai 24,539 pemohon yang telah mendapat pembiayaan daripada bank.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam membantu para pembeli yang menghadapi isu ini ?
Antara usaha Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam membantu para pembeli yang menghadapi isu ‘endfinancing’ adalah dengan mengadakan kerjasama dengan pihak Maybank Berhad bagi mewujudkan satu skim sewa milik atau dikenali juga sebagai ‘Rent To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah RM 10,000-00 sebulan ke bawah untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku. Dengan ini, Kerajaan Negeri mampu memastikan sasaran menyediakan 30,000 unit Rumah Selangorku dalam tempoh 5 tahun dapat dicapai dengan lancar sejajar dengan penyediaan pinjaman perumahan yang lebih mudah dan fleksibel.
Sehubungan dengan itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh pihak LPHS bersama pihak Maybank dan memerlukan penelitian yang terperinci daripada semua pihak terlibat. Ini bagi memastikan mekanisma pelaksanaan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif serta mencapai objektif kepada golongan sasaran yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri. Setelah itu, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.