Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
31) MASALAH EKONOMI GLOBAL – PEMBERHENTIAN KERJA
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Semakin ramai rakyat hilang pekerjaan sejak pandemik melanda. Apakah tindakan dan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri berkenaan dengan masalah tersebut?
Sebagaimana Yang Berhormat Hulu Bernam sedia maklum, Negeri Selangor Darul Ehsan telah beralih kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dimana kebanyakan sektor sosio-ekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berkuat kuasa semasa.
Namun begitu, kebenaran beroperasi sektor sosio-ekonomi semasa penguatkuasaan PPN Fasa 4 menuju endemik Covid-19 tidak menjamin peluang pekerjaan dan sumber pendapatan sama rata kepada golongan yang terjejas sepanjang penularan wabak pandemik Covid-19. Peluang pekerjaan dan punca pendapatan baru harus diterokai dan digunakan sebaik mungkin selari dengan keperluan dan kehendak semasa pasaran.
Memahami situasi semasa, Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan satu portfolio baharu yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor. Jawatankuasa Tetap ini adalah berperanan dalam membantu rakyat di negeri Selangor khususnya yang mempunyai masalah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19. Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) Ke 30 / 2021 pada 8 September 2021, telah menimbang dan meluluskan penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja bagi melancarkan pergerakan program kepada kumpulan sasaran.
Objektif penubuhan UPPS adalah sebagai perantara dan penggerak Kerajaan Negeri dalam menyediakan satu platform/ medium di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor dalam membantu rakyat negeri Selangor khususnya bagi mendapat bimbingan dan latihan dalam sektor pekerjaan serta menjalinkan usahasama strategik bersama jabatan dan agensi awam dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan / Persatuan dan pihak-pihak yang berkaitan bagi membantu kumpulan sasaran.
Di bawah UPPS ini, fokus utama adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sahaja. Misi utama UPPS adalah untuk membantu pekerja-pekerja di negeri Selangor yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 untuk mendapatkan kembali pekerjaan yang sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang.
Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS seperti berikut:
i. Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
ii. Sektor PembangunanKedua-dua sektor ini adalah dikhususkan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program tahunan di bawah UPPS. Memandangkan portfolio ini masih baharu ditubuhkan dan pelantikan kakitangan UPPS secara rasmi adalah pada 1 Oktober 2021, Jawatankuasa Tetap masih merangka dan memperhalusi beberapa cadangan program yang akan dijadikan sebagai program tahunan. Walau bagaimanapun, dalam tempoh lima (5) bulan beroperasi, UPPS telah berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan/ institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:
i. Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40.
ii. Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dalam kalangan B40.
iii. Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
iv. Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta.
v. Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
vi. Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta.
vii. Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta.Sehingga kini, satu pencapaian yang boleh dikira membanggakan apabila UPPS telah berjaya menempatkan seramai 350 pekerja di syarikat-syarikat tempatan seperti WestPort, Citylink dan sebagainya.
Dalam pada itu, bagi tahun 2022, terdapat beberapa lagi program-program yang telah dirancang dan dirangka di bawah UPPS. Antaranya program-program yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat adalah seperti berikut:-
i. Program Jelajah Jobcare
Membantu Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama PERKESO Negeri Selangor dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran yang meningkat di negeri ini disamping menyumbang ke arah peningkatan produktiviti negara. Program jelajah pertama telah berlangsung di Dewan Hamzah, Klang dengan jayanya sekaligus membantu 52 orang pemohon mendapatkan kerja dengan serta-merta dan 44 orang pemohon lagi telah dijemput untuk temuduga kedua.
ii. Program Jaminan Kerja Selangor
Program berkonsepkan pameran kerjaya dengan usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).
iii. Program Gig Care-1,000
Membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan Gig bagi membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga.
iv. Program Penempatan Pekerjaan Tahun 2022
Membantu golongan B40 yang menganggur dan kehilangan pekerjaan di negeri Selangor di mana sebahagian besarnya adalah merupakan bekas banduan dan pelatih parol bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
Selaras dengan visi UPPS bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja akan melaksanakan lebih banyak program-program dengan menerokai ruang dan peluang kerjasama strategik baru dengan pelbagai jabatan dan agensi agar agenda “Selangor Maju Bersama” dan matlamat bagi membantu golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19 khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan dapat dicapai.
-
Bagaimanakah dengan dasar Kerajaan Negeri yang ingin menjadikan Selangor sebagai kerajaan maju dan berkebajikan seandainya masalah pengangguran semakin bertambah?
Yang Berhormat Hulu Bernam, saya percaya, dengan penubuhan Unit pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS), Kerajaan Negeri mampu untuk mencapai matlamat dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri maju dan berkebajikan. Melihat kepada pencapaian besar UPPS sebagi satu unit khas di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja dengan tempoh hanya lima (5) bulan beroperasi, ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan khususnya telah mendapat kembali pekerjaan sekaligus masalah pengangguran di negeri Selangor semakin berkurang. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempromosikan UPPS sebagai satu unit rasmi yang baharu di bawah Jawatankuasa
Tetap Pemberdayaan Pekerja di mana visi, misi dan objektifnya jelas untuk membantu pekerja di negeri Selangor bagi mendapatkan peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan statistik kadar pengangguran. Sehubungan itu, UPPS akan berkerjasama dengan lebih banyak jabatan dan agensi berkaitan dalam usaha membantu para pekerja di negeri Selangor khususnya yang menghadapi masalah kehilangan pekerjaan semasa pandemik ini. Setakat ini, UPPS telah menjalinkan kerjasama yang baik bersama Kementerian Sumber Manusia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa agensi – agensi dan institusi tempatan. Dengan usaha sedemikan, ianya sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kadar pengangguran di negeri Selangor yang kian meningkat sekaligus menyumbang kepada usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat untuk menjadikan negeri Selangor sebagai negeri maju dan berkebajikan.