Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

127) MASALAH CF TAMAN TAMAN PERUMAHAN DAN PANGSAPURI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah penyelesaian terhadap masalah CF?

    Kerajaan Negeri Selangor selepas tahun 2007 tidak lagi mengeluarkan CF dan menggantikannya dengan Perakuan siap dan Pematuhan (CCC) . CCC dikeluarkan oleh Orang Utama yang Mengemukakan (Principle Submitting Person) iaitu arkitek profesional, jurutera profesional atau pelukis pelan bangunan.

    Walau bagaimanapun bagi pembangunan yang melibatkan CF sebelum ini, langkah-langkah penyelesaian terhadap masalah CF adalah seperti berikut:-

    1. Mengaturkan mesyuarat teknikal bersama pemaju, perunding dan agensi teknikal bagi mengenal pasti masalah dan membincangkan kaedah penyelesaian serta khidmat nasihat / mempermudah cara tanpa mengetepikan prosedur.
    2. Mengemukakan status terkini kepada pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu pembeli untuk mendapatkan CF. iii. Mengenakan syarat yang minima bagi pengeluaran CF.
    3. Membenarkan pengeluaran CF secara berfasa dengan syarat keperluan kemudahan asas disiapkan keseluruhan dengan persetujuan agensi teknikal.
    4. Menghalang pihak pemaju yang bermasalah untuk mengemukakan permohonan pembangunan baru sebelum isu CF yang tertangguh diselesaikan.
  2. Apakah tindakan yang diambil untuk membantu pembeli yang terperangkap dengan masalah tersebut?

    Secara umumnya, masalah berkaitan CF ini melibatkan pembeli dan pemaju seperti yang tertakluk di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 (Pindaan) 2002. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah badan yang bertanggungjawab di dalam memastikan pemaju menyiapkan sesuatu pembangunan itu.

    Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri boleh memberi khidmat nasihat dari segi teknikal dan perundangan supaya mereka boleh mengetahui hak mereka sebagai seorang pembeli.  Merujuk klausa 25, Akta Pemajuan Perumahan 2002 ada menyatakan tanggungjawab pemaju bagi mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki  (CF). Walau bagaimanapun, sekiranya pemaju gagal atau tidak mematuhi mana-mana keperluan Jabatan teknikal luaran dan dalaman bagi memperoleh CF, pembeli mempunyai hak mengambil tindakan perundangan ke atas pemaju, Arkitek dan mana-mana orang lain yang berkenaan dengan pemajuan perumahan yang dibeli seperti yang dinyatakan di dalam klausa 7, Akta Pemajuan Perumahan 2002.

  3. Apakah tindakan susulan terhadap masalah CF Taman Desa Gemilang di Sg Pusu?

    Berikut adalah tindakan susulan terhadap masalah CF Taman Desa Gemilang:-

    • Status CF di  Taman  Desa  Gemilang  adalah   Sijil   Kelayakan Menduduki Sementara  dan  telah  tamat  tempoh  pada 8 Disember 2012.
    • Permohonan ini  masih belum  memiliki  CF  penuh  kerana  perunding masih belum  mengemukakan   surat   sokongan   dari   IWK,   Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Taman & Rekreasi, MPS.
    • Tindakan susulan – Jabatan Bangunan telah  mengeluarkan  surat peringatan kepada  perunding  untuk  mengemukakan  permohonan lanjut  tempoh CF.
    • Tanggungjawab perunding   yang   mengemukakan   pelan   bangunan untuk menyelesaikan  masalah CF

Lampiran

Tiada Lampiran.