Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

48) MASALAH BELIA

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah belia di Negeri Selangor yang menjadi penagih dadah?

    Daripada Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan, seramai 1176 orang penagih yang terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2008 di Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut seramai 983 orang adalah daripada golongan belia yang berumur 18 hingga 40 tahun iaitu sebanyak 83.59 % daripada jumlah keseluruhan. Sehingga Mac 2009, seramai 62 orang penagih yang telah dikesan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 85 % iaitu seramai 53 orang adalah golongan belia.

  2. Adakah terdapat peningkatan penagih dadah di golongan belia di Negeri Selangor dan jika ia, kadar peningkatannya?

    Pada tahun 2006, seramai 1321 daripada golongan belia yang berumur di antara 18 – 40 tahun telah dikesan menagih dadah di Negeri Selangor daripada jumlah keseluruhan penagih iaitui seramai 1836 orang. Manakala pada tahun 2007, jumlah belia yang terlibat menurun kepada 1043 orang daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 1409 orang. Pada tahun 2008 pula, jumlah golongan belia yang terlibat turut menurun kepada 983 orang daripada jumlah keseluruhan seramai 1176 orang Walau bagaimanapun, bagi ketiga – tiga tahun tersebut, terdapat peratusan peningkatan golongan belia yang terlibat dalam penagihan dadah daripada jumlah keseluruhan penagih bagi tahun –tahun tersebut iaitu 71.95% pada tahun 2006 kepada 74.02% pada tahun 2007 dan 83.59% pada tahun 2008.

     

    (Peningkatan dinilai bermula dari 3 tahun terdahulu)

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan/ mengatasi masalah ini?

    Untuk makluman, kerajaan Negeri Selangor turut memberi peruntukan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Selangor untuk mempergiatkan usaha bagi menangani permasalahan dadah . Antara langkah tersebut adalah melalui pelaksanaan program pencegahan yang memfokuskan golongan belia sebagai golongan terbesar yang terlibat dalam penagihan dadah contohnya pelaksanaan program Rakan Antidadah (RADA) yang bertindak sebagai medium terbaik untuk menggerakkan masyarakat memerangi dadah melalui pelbagai sudut. Selain itu, setiap ketua – ketua jabatan kerajaan di Negeri Selangor disarankan untuk mewujudkan jawatankuasa pencegahan dadah di jabatan masing- masing sebagai satu langkah untuk memastikan persekitaran kerja yang bebas dari ancaman dadah seterusnya menekankan isu ini sebagai isu utama yang perlu diberi perhatian.

Lampiran

Tiada Lampiran.