Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

247) MASALAH BANJIR DI DUN IJOK

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh bagi menangani isu banjir khususnya di DUN Ijok?

    Lembangan Sungai Buloh terletak di tiga (3) daerah iaitu Daerah Gombak, Petaling dan Kuala Selangor. Sungai Buloh mempunyai keluasan tadahan kira-kira 336 km². Panjang Sungai Buloh adalah dianggarkan 40km dan mengalir ke Selat Melaka.

     

    Pembangunan yang pesat di sebahagian Daerah Gombak dan Petaling serta keadaan sungai sedia ada yang tidak mampu menampung jumlah air hujan yang tinggi menyebabkan berlakunya kejadian banjir di beberapa kawasan dalam Lembangan Sungai Buloh.

     

    Kejadian banjir di sebahagian Daerah Petaling dan Kuala Selangor adalah disebabkan limpahan air Sungai Buloh apabila hujan lebat terutama di kawasan Kg. Paya Jaras Hilir, Kg. Paya Jaras Dalam, Kg. Merbau Sempak dan Kg. Kubu Gajah di Daerah Petaling. Banjir menjadi bertambah teruk apabila hujan yang turun bertembung dengan air pasang besar menyebabkan air daripada sistem saliran dalaman tidak dapat keluar ke sungai terutama di beberapa kawasan di bahagian hilir sungai seperti Kg. Parit Mahang, Kg. Bukit Hijau, Kg. Bukit Cerakah dan Kg. Bukit Kuching di Daerah Kuala Selangor.

     

    Banjir di kawasan Daerah Kuala Selangor mengambil masa yang lama untuk surut disebabkan masalah pelepasan aliran air di sungai yang terhalang oleh aras air pasang laut. Banjir yang berlaku di kawasan Daerah Petaling pula kebanyakannya adalah merupakan banjir kilat.

     

    Bagi mengatasi masalah banjir di kawasan yang dinyatakan ini, maka satu (1) projek tebatan banjir iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh telah diluluskan pada tahun 2017.

     

    Penyelesaian menyeluruh bagi pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir di kedua-dua Daerah Petaling dan Kuala Selangor dianggarkan berjumlah RM456 juta. Walau bagaimanapun, peruntukan yang diluluskan bagi projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh oleh Kerajaan Persekutuan dalam RMKe-11 (Rolling Plan 2) adalah sebanyak RM50 juta. Justeru itu, dengan peruntukan yang terhad ini, penumpuan pelaksanaan adalah di kawasan downstream iaitu di Daerah Kuala Selangor yang melibatkan Pekan Ijok, Kg. Ijok, Kg. Harmoni, Kg. Parit Mahang, Kg. Bukit Hijau, Kg. Bukit Cerakah dan Kg. Bukit Kuching.

           

    Pelaksanaan kerja-kerja fizikal didahulukan di kawasan Daerah Kuala Selangor disebabkan beberapa faktor berikut iaitu:-

     

    1. Banjir yang berlaku di kawasan Daerah Kuala Selangor mengambil masa yang lebih lama untuk surut berbanding banjir kilat yang berlaku di kawasan Daerah Petaling.
    2. Banjir menjadi bertambah buruk apabila hujan yang turun bertembung dengan air pasang besar yang menyebabkan air daripada sistem saliran dalaman tidak dapat keluar ke sungai terutama di beberapa kawasan di bahagian hilir sungai.
    3. Pelaksanaan skop kerja tebatan banjir berfasa mengutamakan kawasan hilir Sungai Buloh adalah dijangkakan akan dapat membantu melancarkan aliran air sungai dan seterusnya menurunkan paras air banjir kawasan tersebut.

     

    Pada tahap perlindungan 50 ARI, sejumlah 14,440 orang penduduk di kawasan projek dijangka akan dilindungi daripada banjir dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir adalah 17,700 orang (anggaran kasar). Selain itu juga, seluas 10km persegi kawasan banjir akan diselamatkan daripada kejadian banjir dengan jumlah luas kawasan yang berisiko banjir adalah 15km persegi (anggaran keluasan dari reka bentuk Model RTB Sungai Buloh).

     

    Kemajuan Semasa

     

    Prestasi kemajuan sehingga 16 Oktober 2023 adalah 62% berbanding 57% jadual (melebihi jadual sebanyak 5%). JPS akan menjalankan pemantauan projek secara berterusan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan pada 4 April 2024.

     

    Berikut adalah ringkasan kerja-kerja yang dilaksanakan:

     

    1. Pembinaan 18km bund (tebing kiri dan kanan) setakat ini dapat disiapkan 58%, manakala bund di CH5800 ke atas masih dalam pelaksanaan.
    2. Pemasangan empat (4) unit screw pump untuk dua (2) lokasi di BCXYZ dan Parit Gajah dijangkakan pada awal November ini, manakala empat (4) unit screw pump lagi jangka dipasang pada awal tahun hadapan.
    3. Pembinaan tiga (3) compact sub telah siap dan satu (1) compact sub dalam pelaksanaan. Lawatan Pra-PIAT telah diadakan bersama wakil TNB pada 24 Oktober 2023 bagi proses penyambungan bekalan elektrik di dua (2) compact sub BCXYZ dan Parit Gajah.
    4. Pembinaan outlet structure hanya satu (1) struktur sepenuhnya telah siap daripada lapan (8) struktur.
    5. Pelaksanaan MLT bagi menguji keupayaan cerucuk bagi jambatan telah dilaksanakan. Pembinaan jambatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
    6. Pembinaan logboom dan screw down gate di Compartment D1 akan dimulakan setelah lantikan sub kontraktor selesai oleh Kontraktor Utama.

  2. Apakah inisiatif semasa yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi menangani isu banjir di DUN Ijok sementara menunggu rancangan tersebut siap?

    Untuk makluman, kejadian banjir yang berlaku di kawasan Sungai Buloh adalah disebabkan oleh kapasiti air yang tidak boleh ditampung dan dialirkan keluar melalui pintu air pasang surut akibat daripada paras air sungai yang tinggi. Sehubungan dengan itu, bagi membantu mengurangkan jumlah air dalaman tersebut, JPS telah memasang lapan (8) unit pam bergerak dengan jumlah kapasiti sedutan 70ft³/s.

Lampiran

Tiada Lampiran.